(Petikan Bab 3 Latihan Ilmiah 'Sihir : Pembuktian Di Mahkamah')
3.1 PENGENALAN
Sihir berasal dari perkataan as-sahar
( السحر
) iaitu bermaksud masa antara akhir malam dan awal siang.[1]
Defenisi ini menggambarkan bahawa sihir itu ada persamaannya dengan kegelapan
malam yakni suatu waktu yang sukar untuk dilihat secara jelas dengan mata
kasar. Menurut Kamus Dewan, ilmu sihir ini diperincikan kepada ilmu guna-guna[2],
mantera, ilmu pukau[3],
ilmu tuju-tuju[4]
dan sebagainya yang dapat menyakiti ataupun mempesona orang.[5]
Bahkan Allah Taala telah berfirman :
“Mereka
(membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir Yang dibacakan
oleh puak-puak Syaitan Dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi
Sulaiman tidak mengamalkan sihir Yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi
puak-puak Syaitan itulah Yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah
Yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa Yang diturunkan kepada dua
malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua
tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya Dengan
berkata: "Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu),
oleh itu janganlah Engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam
pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir Yang
boleh menceraikan antara seorang suami Dengan isterinya, padahal mereka tidak
akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) Dengan sihir itu
seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari
perkara Yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka.
dan Demi Sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui Bahawa
sesiapa Yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian Yang baik
di akhirat. Demi Sesungguhnya amat buruknya apa Yang mereka pilih untuk diri
mereka, kalaulah mereka mengetahui.”[6]
Dalam ayat tersebut telah dijelaskan bahawa
ilmu sihir telah menapak dalam peradaban manusia sejak dari zaman kewujudan
bandar Babylon dan ia diajarkan kepada manusia oleh syaitan sebelum diturunkan
malaikat Harut dan Marut.[7]
Namun begitu, para sejarawan mempunyai pendapat yang berbeza dalam
mengenalpasti zaman permulaan kewujudan amalan sihir dalam masyarakat. Menurut
sejarawan Islam, ilmu sihir ini telah bertapak bermula pada zaman Nabi Idris
(a.s.) yakni sewaktu malaikat Harut dan Marut[8]
diturunkan di negeri Babylon.[9]
Dalam bab ini, penulis akan memfokuskan
amalan sihir dalam kehidupan masyarakat di dunia. Ilmu sihir ini sememangnya
telah menjadi salah satu ciri signifikan kepada kehidupan manusia. Ini
dibuktikan dengan kemunculan pelbagai kepercayaan kepada semangat atau hantu
seperti animisme dan kemunculan pelbagai artifak dan monumen sejarah berkaitan
dengan teks, peralatan serta upacara ritual yang hampir sama dengan amalan
pelaksanaan sihir pada hari ini.
Bahkan dalam bab ini juga akan dijelaskan
kedudukan dan penerimaan sihir dalam statut dan undang-undang yang pernah
digunapakai oleh beberapa tamadun dan negara. Terdapat beberapa undang-undang
yang pernah digunapakai untuk mengekang amalan sihir. Antaranya adalah seperti yang
termaktub dalam Kod Visigoth yang melabelkan amalan sihir sebagai kesalahan idolatory
(ajaran sesat) dan hukumannya adalah diikat di pancang dan dibakar. Namun Kod
Visigoth hanya digunakan dalam kesalahan yang berkaitan dengan kesalahan agama
Kristian atau lebih dikenali kesalahan ecclesiastical kerana amalan
sihir bukan satu kesalahan besar menurut common law.[10]
Ini
ditambah lagi dengan kata-kata Martin Luther, seorang tokoh pemikir Barat iaitu:
“One should show no mercy to these [women];
I would burn them myself, for we read in the Law that the priests were the ones
to begin the stoning of the criminal.”[11]
Ia bermaksud “Kamu tidak patut
menunjukkan rasa kasihan kepada pengamal sihir; aku sendiri akan membakar
mereka, kerana kita tahu di dalam undang-undang, paderi adalah orang yang
mula-mula akan merejam batu kepada penjenayah”. Bahkan Saidina Umar al-Khattab sendiri pernah
menetapkan hukuman bunuh ke atas ahli sihir sama ada lelaki atau wanita
berasaskan amalan para sahabat di mana para sahabat pernah membunuh tiga orang
ahli sihir.[12]
3.2 KEDUDUKAN SIHIR DALAM MASYARAKAT
Setiap lapisan komuniti masyarakat di
mana-mana negara di dunia mempunyai gelaran tersendiri yang diberikan kepada
pengamal teknik luar biasa dalam bidang tertentu terutamanya dalam bidang
rawatan tradisional. Umumnya di kawasan Nusantara terutamanya Malaysia, gelaran
seperti bomoh, pawang, tok batin dan dukun adalah tidak asing bagi masyarakat setempat.
Bahkan negara-negara di benua lain turut mempunyai gelaran tersendiri bagi
golongan pengamal ilmu luar biasa ini. Contohnya witchdoctor, sorcerer,
sangoma,[13]
toa mali[14],
jhakri dan pelbagai lagi gelaran yang diberikan.
Sungguhpun gelaran ini diberikan kepada individu
yang mempunyai kepakaran luar biasa, namun tidak semuanya menjurus kepada ahli
sihir. Ada juga antara golongan ini mempunyai kepakaran luar biasa dengan hanya
menggunakan teknik petua orang terdahulu seperti rawatan dengan herba dan
tumbuhan semula jadi. Bahkan tidak semua dari mereka mahu dipanggil ahli sihir
kerana panggilan tersebut adalah bersifat pesimistik dan negatif dalam hierarki
masyarakat.
Adalah menjadi suatu perkara yang janggal
apabila pengamal sihir itu sendiri mengaku bahawa dia adalah ahli sihir. Jarang
sekali wujud pengakuan dari mulut pengamal sihir tentang amalan sihir yang
dilakukannya.[15]
Faktor ketiadaaan pengakuan inilah yang menjadikan masyarakat gemar mendapatkan
perkhidmatan dari pengamal sihir bagi memenuhi keperluan atau kehendak
tersendiri. Ini kerana pandangan negatif masyarakat terhadap ahli sihir hanya
akan wujud apabila pandangan berkenaan terhadap orang yang disyaki ahli sihir
itu dikongsi bersama dengan ahli masyarakat yang lain.
Masyarakat sememangnya memandang ilmu sihir
sebagai satu ilmu hitam dan bertentangan dengan norma kehidupan manusia biasa.
Namun, ada kalanya masyarakat terpedaya dengan tipu helah pengamal sihir dengan
pelbagai identiti yang mampu memupuk kepercayaan dalam kalangan anggota
masyarakat setempat seperti imej keagamaan, kekayaan dan berpengaruh. Abdul
Basir Mohamed ada menjelaskan bahawa keadaan tersebut adalah tidak ubah seperti
seorang pekerja yang menggunakan nama baik jabatan bagi melakukan perkara yang
merosakkan imej jabatan itu sendiri.[16]
Sungguhpun pengamal sihir dan pengamal
perubatan tradisional sering dikaitkan oleh masyarakat sebagai golongan yang
sama, namun hakikatnya adalah berbeza. Ini kerana pengamal sihir mempunyai
kaedah pembelajaran yang tersendiri dan semestinya memerlukan persepakatan
antara manusia dan jin.[17]
Manakala pengamal perubatan tradisional pula menjalankan kaedah perawatannya
berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajarinya oleh masyarakat
terdahulu tanpa perantaraan makhluk ghaib.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa
masyarakat sememangnya memandang negatif dan menolak sekeras-kerasnya amalan
sihir, namun dalam masa yang sama, mereka juga menyokongnya tanpa sedar. Hal
ini berlaku kerana masyarakat sering terkeliru antara amalan yang dikatakan
sihir dengan amalan perubatan secara tradisional. Ini dapat dilihat dalam
sejarah perkembangan sihir itu sendiri.
3.2.1 Amalan Sihir Dalam Tamadun Awal
Manusia
Masyarakat Sumeria dalam Tamadun
Mesopotamia sering dikenali sebagai masyarakat pertama mengetahui tentang
taktik peperangan, mampu meramal tindakan ketenteraan berasaskan tilikan dan
tidak mempunyai cita-cita untuk berperang. Bahkan tamadun ini juga dikenali
dengan ilmu astronomi seperti ilmu mengenali pergerakan bintang dan
planet-planet. Hakikatnya ilmu itu disalahgunakan bagi tujuan sihir. Pengaruh
amalan sihir ini merasuk setiap pelusuk penjuru negara kota Mesopotamia tanpa
mengira lapisan hierarki negara kota. Walter Farber menjelaskan bahawa golongan
bangsawan dalam tamadun ini menguasai ilmu sihir kerana meraka mampu membaca
mentera sihir secara bertulis.[18]
Kepercayaan mereka banyak dipengaruhi dengan bentuk sihir yang diamalkan iaitu
berasaskan pergerakan bintang-bintang ataupun planet tertentu.
Contohnya penyembahan berhala yang mewakili
Musytari adalah bertujuan untuk memperoleh kebaikan, penyembahan Marikh pula
dilakukan jika mereka mahukan kebakaran dan penyakit taun, manakala pemujaan
patung Zuhal adalah bagi tujuan memohon kematian, bala bencana dan peperangan
ke atas seseorang.[19] Bahkan
rawatan yang dilakukan pada zaman tersebut mempunyai hubungkait dengan upacara
keagamaan yang dicampur aduk dengan ilmu sihir. Contohnya seperti menghalau
roh-roh jahat yang memasuki badan dengan menilik pergerakan bintang bagi
menentukan sama ada pesakit tersebut sembuh atau sebaliknya.[20]
Amalan sihir ini berkembang luas dan menunjangi kehidupan masyarakatnya
sehingga Allah Taala mengutuskan Nabi Ibrahim, mereka tetap menolak dakwah Nabi
Ibrahim dan memandang rendah mukjizat yang ditunjukkan. Bahkan mereka sanggup
membuang Nabi Ibrahim ke dalam api.[21]
Bagi tamadun yang sering dikaitkan sebagai
tempat perkembangan pelbagai ilmu mistik yakni Tamadun Mesir, pengaruh amalan
sihir dalam masyarakatnya juga berkembang luas sama seperti dalam Tamadun
Mesopotamia. Menurut catatan sejarah ada menyatakan bahawa hampir kesemua
masyarakat pada zaman tersebut memakai tangkal dan azimat yang dibekalkan oleh
ahli sihir.[22]
Bahkan ada antara raja atau Firaun yang memerintah tamadun ini mengamalkan ilmu
sihir itu sendiri seperti Firaun Niktanibas.[23]
Ilmu sihir dalam tamadun ini boleh
dikategorikan kepada dua jenis iaitu pertama adalah sihir bagi tujuan kebaikan
dan manfaat, dan kedua adalah sihir untuk mendatangkan keburukan dan
malapetaka.[24]
Bahkan dalam kaedah rawatan dan perubatan juga digunakan amalan jampi ilmu
sihir. Antara yang terkenal dengan menggunakan kaedah rawatan ini adalah
seperti Imhotep, Horus dan Isis.[25]
Hanya setelah pengutusan Nabi Musa dan dibantu Nabi Harun bersama mukjizat yang
diberikan oleh Allah Taala ke tamadun ini, barulah masyarakatnya mula sedar
tentang keburukan ilmu sihir.
Bagi Tamadun Yunani dan Rom pula, perkembangan
kemajuan yang dicapai oleh negara kota dan pusat Bandar seperti Athens, Sparta dan Olymphia telah menyebabkan
berlakunya perkembangan pesat dalam pengkajian terhadap kebudayaan tamadun
sebelumnya. Antaranya adalah seperti kajian berkaitan dengan bidang perubatan
dalam Tamadun Mesir dan Babylon yang banyak menggunakan elemen sihir untuk
merawat pesakit.[26]
Pada zaman kegemilangan Rom, ahli sihirnya dikenali dengan kebolehan mengenakan
sihir kepada seseorang dengan menyebabkan lidahnya kelu dan tidak bermaya,
serta boleh menimbulkan permusuhan dengan menyeru roh individu yang sudah mati.[27]
3.2.2 Amalan Sihir Dalam Masyarakat Moden
Hakikat yang perlu diketahui adalah amalan
sihir ini merupakan amalan turun-temurun. Dalam erti kata lain, kaedah
pembelajaran dan pengamalannya tidak banyak yang berubah. Bahkan para sejarawan
mengakui bahawa ilmu sihir ini berpunca daripada satu sumber dan diamalkan di
seluruh dunia. Ini dibuktikan melalui persamaan formula atau mentera ilmu sihir
yang terdapat dalam satu teks sihir dari Semenanjung Tanah Arab yang dikenali Picatrix
dengan formula yang dicatatkan dalam buku A Mannual of Demonic Magic yang kini dipamerkan di Muzium Negeri Bavaria
Munich, Jerman.[28]
Dalam buku tersebut ada dinyatakan tentang
peralatan yang digunakan dalam amalan sihir seperti pisau, jarum, patung,
bahan-bahan kotor seperti najis, darah burung, gambar atau barang peribadi
mangsa, tulang atau tengkorak, tali simpulan dan kain berwarna. Peralatan yang
dinyatakan ini tidak jauh bezanya dengan peralatan yang digunakan oleh ahli
sihir pada masa kini. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah Taala berkenaan
dengan tali simpulan yang digunakan dalam kaedah sihir. Firman-Nya:
"Dan dari kejahatan makhluk-makhluk Yang
menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);”[29]
Perkembangan agama Islam dalam masayarakat
di Tanah Melayu banyak mengubah kepercayaan masyarakatnya yang selama ini
mempercayai animisme dan kuat berpegang kepada ajaran Hindu-Buddha. Walaupun
akidah dan kepercayaan masyarakat Melayu adalah berasaskan kepada mentauhidkan
Allah, namun terdapat beberapa amalan yang masih dipengaruhi ajaran
Hindu-Buddha dan ia masih diamalkan oleh sebahagian daripada masyarakat. Contohnya
amalan ancak atau acak iaitu upacara sembahan makanan kepada saka. Bahkan
pengamal sihir di rantau ini gemar memberikan gelaran kepada jin, syaitan dan
iblis dengan nama yang boleh menggaburi mata masyarakat tempatan seperti
gelaran dewa, dewi, mambang, Rijalul Ghaib, penunggu, semangat, khadam ayat dan sebagainya.[30]
Menurut Pak Engku Ansaruddin Agus, sihir
pada masa kini mempunyai jenis dan namanya yang pelbagai. Antaranya adalah
tuju-tuju, santau, susuk, pukau, sihir pemisah, sihir pembenci, sihir pengasih,
sihir gangguan penyakit mental dan fizikal, sihir hubungan suami isteri, sihir
wanita, sihir ilmu kekuatan diri dan sihir yang melibatkan objek.[31]
Bahkan kesan sihir ini boleh dilihat kepada mangsa seperti penyakit bell’s
palsy,[32]
sawan atau epilepsy, penyakit chronic arthritis (sakit sendi
berpanjangan), chronic fibromygalgia (sengal otot berpanjangan), skizofrenia,[33]
anxiety disorder (penyakit kerisauan) dan major depression (kemurungan
berpanjangan). Manakala di Indonesia, ilmu sihir yang sering digunakan adalah
seperti ilmu santet,[34]
ilmu teluh[35],
ilmu tenung,[36]
dan biring.[37]
Amalan sihir dalam masyarakat moden pada
hari ini tidak banyak bezanya dengan masyarakat dalam Tamadun Awal Manusia.
Masyarakat moden juga ada yang masih memakai tangkal dan azimat, ada juga yang
mempercayai tilikan berasaskan pergerakan bintang seperti zodiak, mempercayai
semangat jahat seperti yang dinyatakan dalam prinsip Yin dan Yang atau
fengshui, dan amalan sihir ini lebih dikenali sebagai ilmu hitam atau black
magic. Bahkan masyarakat beragama Hindu menggunakan yantra[38]
dan mantra[39]
bagi melindungi diri dari roh jahat.[40]
Dalam kes Mona Fandey, fakta kes yang
menunjukan pembunuhan yang dilakukan terhadap ahli politik adalah berasal dari
upacara pemujaan makhluk halus atau amalan sihir.[41]
Antara cara upacara itu dilakukan adalah seperti cara penyucian dengan
menggunakan air bunga-bungaan, kepala mangsa dipenggal, anggota badan
diceraikan serta ditanam secara berasingan.
3.3 KEDUDUKAN SIHIR DALAM UNDANG-UNDANG
Undang-undang digubal bertujuan untuk
mengekang sebarang perbuatan atau tinggalan yang boleh menjejaskan hak
seseorang. Penggubalan ini penting bagi menjaga kepentingan masyarakat daripada
terjebak atau mengalami kesan perbuatan atau tinggalan seseorang. Amalan sihir,
walaupun sejarah memperlihatkan bahawa ia pernah menjadi amalan masyarakat,
namun amalan sihir ini masih mempunyai keburukan yang boleh menjejaskan hak
asasi manusia. Oleh itu penggubalan terhadap undang-undang bagi mengekang
perkembangan amalan sihir adalah satu kemestian dan wajar digubal.
Pada masa kini, tidak terdapat peruntukan
khas mahupun statut khusus berkaitan dengan amalan sihir di dunia terutamanya
di Malaysia kecuali di beberapa buah negara Afrika dan Arab Saudi. Punca
ketiadaannya sama ada ketiadaan pakar dalam menghuraikan keterangan yang perlu
dikemukakan di Mahkamah sehingga menyebabkan undang-undang berkaitan
dimansuhkan, ataupun persepsi yang menafikan kewujudan ilmu sihir dalam era
modenisasi ini.[42]
Antara negara yang pernah atau masih mempunyai undang-undang khas berkaitan
dengan amalan sihir adalah seperti :
1. Babylon semasa pemerintahan Raja Hammurabi,
2. Rom semasa pemerintahan Julius Caesar,
3. Australia di beberapa buah negeri seperti Queensland, New South Wales, ACT, Selatan Australia, Tasmania dan Victoria,
4. Negara Eropah seperti England,
5. Negara Afrika seperti Tanzania, Ghana, Kenya, Mozambique, Uganda dan Zimbabwe,
6. Negara Asia seperti Arab Saudi dan China.
3.3.1 Undang-Undang berkaitan sihir di
Babylon
Babylon merupakan salah satu era
pemerintahan yang terkenal dalam Tamadun Mesopotamia. Babylon terbina setelah
masyarakat Sumeria ditawan oleh tentera Amorates. Antara pemerintah terkenal
Babylon adalah Raja Hammurabi yang hidup bermula dari tahun 1810 sehingga 1750
sebelum masihi. Semasa pemerintahan Raja Hammurabi, Babylon masih dikuasai oleh
pengaruh ilmu sihir. Bimbang dengan pengaruh dan keburukan amalan sihir ini,
maka Raja Hammurabi telah mengarahkan supaya satu kod undang-undang
diperkenalkan bagi mengekang amalan sihir tersebut. Bagi memastikan supaya
rakyatnya sedar tentang kewujudan undang-undang tersebut, maka undang-undang
itu diukir di atas sebuah batu marmar hitam setinggi lapan kaki di Bandar
Babylon. Batu marmar tersebut dijumpai pada tahun 1901 bulan Disember di
Khuzestan, Iran dan kini dipamerkan di Muzium Louvre, Paris. Bahkan mengikut
catatan sejarah, undang-undang tersebut yang dikenali sebagai Kod Hammurabi
merupakan statut undang-undang terawal di dunia.[43]
Kod Hammurabi ada menjelaskan tentang
keburukan amalan sihir serta larangan terhadap rakyatnya supaya tidak
mengamalkan sihir dalam kehidupan seharian. Bahkan diperuntukkan juga tentang
cara pembuktian bagi kesalahan sihir. Contohnya sebagaimana yang diperuntukkan
dalam Code No. 2 :
“If any
one bring an accusation against a man, and the accused go to the river and leap
into the river, if he sink in the river his accuser shall take possession of
his house. But if the river prove that the accused is not guilty, and he escape
unhurt, then he who had brought the accusation shall put to death, while he wo
leaped into the river shall take possession of the house that had blonged to
his accuser,” [44]
Dapat difahami bahawa peruntukan tersebut menjelaskan tentang pembuktian bagi kes
tuduhan mengamalkan sihir iaitu orang yang membuat dakwaan tersebut akan
direndamkan ke dalam sungai. Jika dia tenggelam dalam sungai tersebut, maka dia
akan dikira sebagai bersalah dalam membuat tuduhan palsu. Manakala jika
terselamat, orang yang dituduh mengamalkan sihir akan dijatuhkan hukuman mati.[45]
3.3.2 Undang-Undang berkaitan sihir di Rom
Tamadan Rom banyak dipengaruhi dengan
kepercayaan Yunani yang mengangkat kewujudan dewa dan dewi yang dianggap
sebagai Tuhan. Namun kepercayaan ini mulai pudar semasa pemerintahan Byzantium
iaitu di penghujung era pemerintahan Romawi. Kepercayaan Yunani kemudiannya
ditukar dengan ajaran kristianisasi. Selepas agama Kristian menunjangi
pemerintahan Rom, ilmu dan amalan sihir mula diketepikan.
Hal ini dapat dilihat dengan penggubalan
undang-undang yang dikenali The Twelve Tables. Undang-undang ini telah
diperkenalkan oleh Julius Caesar dan sihir dikategorikan sebagai jenayah berat
yang akan dikenakan hukuman berat.[46]
Hukuman tersebut adalah dibakar hidup-hidup sebagaimana yang diperuntukkan
dalam undang-undang tersebut iaitu “That is to be decided that persons who
are addicted to the art of magic shall suffer extreme punishment. Magicians
themselves shall be burned alive.”[47]
Undang-undang tersebut terpakai sehingga pada abad ke-17 di Eropah bahkan turut
memperuntukkan kesalahan kepada sesiapa yang menyanyikan lagu pemujaan sihir
yang dikenali malum Carmen incantarae.[48]
3.3.3 Undang-Undang berkaitan sihir di
Australia
Di Queensland, seksyen 432 Kanun Jenayah
Queensland jelas memperuntukkan tentang kesalahan pretending to exercise
witchcraft or tell fortunes. Dalam
seksyen tersebut telah memeruntukkan barangsiapa mendakwa boleh meramal masa
depan dengan menggunakan alatan atau telapak tangan, atau menggunakan apa
sahaja jampi mentera, pemujaan atau seumpamanya bagi tujuan mengesan barang
curi adalah melakukan satu kesalahan. Namun ia telah dimansuhkan pada 10
November 2000. Peruntukan yang hampir sama juga digunakan di Wilayah Selatan
Australia, namun turut dimansuhkan oleh The Statutes Amendment and Repeal (Public
Offences) Act 1991.[49]
Keadaan yang hampir serupa juga di alami di
New South Wales, Tasmania dan Victoria. Terdapat beberapa peruntukan yang
menyentuh tentang amalan sihir dalam kegiatan penipuan dan mendapatkan harta
secara salah, namun terpaksa dimansuhkan kerana dianggap menimbulkan diksriminasi
kepada penduduk minoriti yang berbeza fahaman agama dan kepercayaan. Bahkan
ketiadaan pakar untuk membezakan antara amalan sihir dan kepercayaan agama
menjadi salah satu faktor mengapa pemansuhan peruntukan undang-undang tersebut
berlaku.
3.3.4 Undang-Undang berkaitan sihir di
Eropah
Pada Zaman Awal Eropah, kebanyakan pemerintah
dikuasai oleh golongan gereja. Golongan gereja sememangnya dikenali dengan
golongan yang memerangi amalan sihir dalam masyarakat. Ini dapat dilihat dengan
tindakan Pope John XXVI yang melancarkan serangan ke atas ahli sihir dalam
usaha membanteras amalan sihir dalam masyarakat. Berasaskan pengaruh gereja,
kebanyakan pemerintah pada waktu itu di Eropah juga mengutuk amalan sihir dan
melarang rakyatnya dari mengamalkan sihir. Antara pemerintah Eropah pada waktu
itu yang mengancam membunuh rakyatnya yang mengamalkan sihir adalah King
Theodoric (493-526). Bahkan King James VI juga pernah menjatuhkan hukuman bunuh
ke atas ahli sihir. Hukuman yang berat ini dapat dilihat melalui hukuman bakar
hidup-hidup pada tahun 1390 yang dikenakan ke atas Jehane de Brigue setelah
rawatan yang diberikan kepada seorang pesakit telah dituduh sebagai amalan
sihir.[50]
Pada Zaman Pertengahan Eropah, Kod Visigoth
telah diperkenalkan dan digunapakai sebagai undang-undang untuk mengekang
ajaran sesat seperti ilmu sihir. Sungguhpun begitu, sihir tidaklah
dikategorikan sebagai kesalahan berat dibawah common law.[51] Hukuman ke
atas ahli sihir kemudiannya ditambah dalam Statut Henry VI pada kurun ke 16,
namun peruntukan hukuman tersebut dimansuhkan oleh Edward VI.
Kemudian
diperkenalkan pula satu undang-undang baru yang dianggap undang-undang paling
ketat semasa pemerintahan Elizabeth I. Ini kerana kesalahan sihir tidak lagi
dianggap kesalahan agama Kristian (ecclesiastical) sebagaimana yang
termaktub dalam Kod Visigoth, bahkan sihir telah diangkat sebagai satu jenayah
besar (felony) dalam common law. Bahkan hukumannya sama seperti
hukuman jenayah bunuh iaitu hukuman gantung.[52]
Semasa pemerintahan George II, undang-undang tersebut telah diganti dengan Witchcraft
Act 1736, yang lebih bersifat ringan hukumannya terhadap pesalah yang
mengamalkan sihir.[53]
Hukuman yang dikenakan hanya denda dan penjara sahaja seperti dihukum berdiri
selama 1 jam di pasar awam atau dihukum penjara satu tahun. Namun penerimaan pemakaian
elemen keterangan ‘spectral evidence’ di Mahkamah menyebabkan kekeliruan berlaku
sehingga ramai orang tidak bersalah dihukum. Akhirnya akta tersebut dimasuhkan
dan diganti dengan Fraudulent Mediums Act 1951.[54]
Bagi mematuhi EU Directive, maka akta tersebut dimansuhkan oleh
undang-undang perlindungan pengguna (Consumer Protection Regulations).
3.3.5 Undang-Undang berkaitan sihir di
Afrika
Menurut Onesmus K. Mutungi, membunuh
seorang ahli sihir di Afrika bukan sahaja dibenarkan, bahkan dianggap sebagai
perbuatan yang terpuji dalam masyarakat.[55]
Peningkatan yang mendadak dalam kes pembunuhan ahli sihir, kebanyakannya
golongan wanita, menyebabkan kerajaan di beberapa buah negara Afrika terpaksa
menggubal serta meluluskan undang-undang bagi mengawal kegiatan tersebut. Antara
undang-undang yang dimaksudkan adalah Witcraft Ordinance 1928 di Tanzania, Witchcraft Suppression
Ordinance 1899 di Rhodesia Selatan, Witchcraft Suppression Act 1957 di
Afrika Selatan, Zimbabwese Witchcraft Suppression Act 1890 dan Mpumalanga Witchcraft Suppression Bill 2007.
Undang-undang yang dinyatakan sebelum ini
lebih tertumpu untuk menjaga orang yang dituduh melakukan sihir berbanding
membendung kegiatan sihir itu sendiri. Ini mungkin disebabkan peningkatan dalam
kes pembunuhan golongan wanita dan kanak-kanak yang dianggap sebagai ahli
sihir. Namun, terdapat juga negara yang memasukkan kesalahan sihir sebagai
kesalahan jenayah dalam Kanun Jenayah seperti yang diperuntukkan dalam Cameroon
Panel Code.[56]
Hukuman yang dikenakan adalah penjara dua hingga 10 tahun dan didenda 5000
hingga 100,000 francs.
3.3.6 Undang-Undang berkaitan sihir di Asia
Undang-undang berkaitan sihir di benua Asia
bermula di negara China semasa pemerintahan Dinasti Yuan (Mongol). Semasa
pemerintahan dinasti ini, telah diperkenalkan Kanun Jenayah Dinasti Yuan
(Mongol). Penggubalan Kanun tersebut adalah disebabkan oleh amalan penculikan
kanak-kanak bagi tujuan sihir. Kanak-kanak yang diculik akan dikelar dan
dibedah bagi mendapatkan organ dalaman seperti hati bagi tujuan pemujaan roh.
William Shaw memetik peruntukan dalam Kanun
tersebut dengan menyatakan, “Whosoever plucks life out of a man or
dismembers him with intent to procure a spectre to sacrifice to, shall be
slowly carved to death with knives.”[57],
yang dapat difahami bahawa siapa yang mengambil nyawa dan anggota badan
(dengan cara memotong) dengan niat untuk dijadikan korban pemujaan roh atau
amalan sihir, maka dia akan dikelar anggota badannya dengan pisau.
Di India pula, keadaannya hampir sama
dengan keadaan di negara Afrika. Bahkan golongan wanita sering dijadikan
sasaran untuk dituduh sebagai Tonhi (ahli sihir). Pada 19 Julai 2005, Witchcraft
Atrocities (Prevention) Act 2005
telah diluluskan bagi melindungi kaum wanita yang sering dituduh menjadi
ahli sihir.[58]
Manakala di Arab Saudi, kesalahan sihir
dikategorikan sebagai jenayah berat dan ia tertakluk kepada budibicara hakim
untuk menetapkan hukuman. Namun, sistem perundangan terutamanya dalam
membicarakan kes jenayah sihir sering mendapat tentangan dari Human Right
Watch. Ini berikutan kes perbicaraan Fawza Salih yang dituduh mengamalkan
sihir, tidak diberikan hak untuk membela diri dan bergantung hanya kepada kuasa
budi bicara hakim. Bahkan Arab Saudi tidak mempunyai satu undang-undang jenayah
secara bertulis yang menyebabkan sistem perundangannya longgar dan tidak
konsisten. Hakim di Arab Saudi diberikan kuasa budi bicara untuk mendefinisikan
perbuatan yang dianggap jenayah dan menetapkan hukumannya.[59]
3.4 KESIMPULAN
Dapat disimpulkan bahawa kedudukan sihir
dalam masyarakat adalah bergantung kepada cara dan metodologi yang digunakan
oleh pemerintah sama ada untuk mengangkatnya sebagai satu perkara yang positif
ataupun mengekang serta mengawal amalan sihir tersebut. Bahkan sejarah telah
memperlihatkan bahawa sihir menyebabkan keruntuhan keharmonian masyarakat dan
negara, berbanding kebaikan yang dicanang oleh pengamal sihir itu sendiri. Jika
pemerintah turut sama mempelajari dan mengamalkan sihir, sudah pasti rakyat
akan mengikuti jejak langkahnya dan begitu juga sebaliknya. Pemerintah yang
mengamalkan sihir selalunya akan melakukan kezaliman ke atas rakyatnya seperti
Firaun Naktanibas dalam Tamadun Mesir.
Catatan sejarah juga telah membuktikan
bahawa pemerintah yang terkenal semasa zaman kegemilangannya telah menggubal
undang-undang bagi menyekat amalan sihir seperti Julius Caesar dan Raja
Hammurabi. Namun, undang-undang yang digubal ini tidak bertahan lama. Ada di
antara undang-undang tersebut terpaksa dimansuhkan seperti di England dan
Australia. Faktor pemansuhan ini adalah disebabkan kekurangan pakar dalam
membezakan antara amalan sihir dan amalan kepercayaan tradisional, serta
ketiadaan pakar dalam menghuraikan serta menjelaskan keterangan dan pembuktian
yang lebih diyakini di Mahkamah.
RUJUKAN & NOTA KAKI
[1] Muhammad Mutawalli al-Sharawiyy,
1990, al-Sihru wa al-hasad, Kaherah : al-Maktabah al-Sharawi
al-Islamiyyah, hlm. 24
[2] Ilmu guna-guna ialah jampi atau mentera untuk
memikat hati seseorang.
[3] Ilmu pukau adalah ilmu jampi serapah
dengan menggunakan tangkal atau seumpamanya yang digunakan untuk memabukkan
orang atau membuat orang tidur lelap.
[4] Ilmu tuju-tuju adalah jampi yang
digunakan untuk membuatkan orang jatuh sakit atau mati.
[6] Al-Qur’an, Surah al-Baqarah
2:102
[7] Muhammad Mustafa al-Hadidi al-Thair,
1987, Penyuluh : Arwah, Jakarta : Pustaka Amani, hlm. 103-104
[8] Menurut Syed Ahmad Semait dalam buku
Kuliah Subuh, Harut dan Marut adalah dua malaikat yang mahu mempunyai
perasaan seperti manusia, lalu dibekalkan nafsu. Apabila diturunkan ke bumi,
mereka tergoda dengan keseronokan dunia, lantas membuat perkara maksiat seperti
mengajarkan ilmu sihir.
[9] Muhammad Mustafa al-Hadidi al-Thair,
1987, op. cit., hlm. 101
[10] Susan C. Karant-nunn & Merry E.
Wiesner-Hanks. 2003. Luther On Women : A Sourcebook, Cambridge :
Cambridge Univesity Press. hlm. 236
[11] Ibid., hlm. 231
[12] Al-Nawawiy, Shahih Muslim,
1924, Juz 14, hlm. 109
[13] Eric Maple, 1973, Witchcraft :
The story of man’s search for supernatural power, London : Octopus Books,
hlm. 113.
[14] Amran Kasimin, 2009, Sihir Suatu
Amalan Kebatinan, Bangi : Penerbit UKM, hlm. 28.
[15] William Shaw, 1975, Aspect of
Malaysian Magic, Kuala Lumpur : Muzium Negara, hlm. 49
[16] Abdul Basir Mohammed, Amalan
sihir & ayat-ayat al-Qur’an : Perbezaan serta kesannya terhadap amalan
perubatan, 1999, Kuala Lumpur : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm.
198-199
[17] Ansaruddin Agus & Mohammad Azlee
A. Mutallib, 2011, Perangi Sihir, Selangor : PTS Milenia Sdn. Bhd., hlm.
60.
[18] Walter Farber, 1995, Witchcraft :
Magic and Divination in Aencient Mesopotamia, dlm. Jack M. Sasson (pnyt.),
Civilization of the Ancient Near East, Edisi 3, Bahagian 8 (Religion &
Science), New York : Charles Scribner’s Sons.
[19] Ibrahim Muhammad Jamal, 1982, Haqiqat
al-Sihr : Dirasah fi zilali qisasi Qur’ani qa sirah nabawiyyah, Kaherah :
Maktabah Qur’an, hlm. 36
[20] Ibid. hlm. 36
[21] Umar Sulayman al-Ashqar, 2002, Alam
al-sihri wa al-sha’wazah, Edisi ke-4, Jordan : Dar al-Nafa’is, hlm. 17
[22] Eric Maple, 1973, Witchcraft :
The story of man’s search for supernatural power, London : Octopus Books,
hlm. 22.
[23] Ibid. hlm. 19-20
[24] Naomi Janowitz, 2001, Magic in
the Roman World : Pagan, Jews and Christians, London : Routledge, hlm. 13.
[25] E.A. Wallis Budge, 1988, Egyptian
Magic, London : Arkana, hlm. 3
[26] Naomi Janowitz,2001, Op. cit.,
hlm. 13.
[27] Ahmad Taha, 1992, Kedoktoran
Islam, terj. Ismail Ibrahim, Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 5
[28] Umar Sulayman al-Ashqar, 2002, Alam
al-sihri wa al-sha’wazah, Edisi ke-4, Jordan : Dar al-Nafa’is, hlm. 169
[29] Al-Quran, Surah al-Falaq
113:4
[30] Amran Kasimin, 2009, Sihir Suatu
Amalan Kebatinan, Bangi : Penerbit UKM, hlm. 51-52
[31] Ansaruddin Agus & Mohammad Azlee
A. Mutallib, 2011, Perangi Sihir, Selangor : PTS Milenia Sdn. Bhd., hlm.
68-109
[32]
Penyakit bell’s palsy adalah penyakit lumpuh sebelah muka, iaitu pesakit akan
mengadu mukanya senget sebelah apabila melihat pada cermin dan berasa sukar
untuk menggerakkan otot muka.
[33]
Skizofrenia adalah penyakit gila yang sebenar, yakni pesakit akan mengalami
halusinasi dan mendakwa terdengar bisikan untuk melakukan sesuatu, atau
mempunyai bizarre delusion (merasakan dirinya terlalu hebat) dan tidak
boleh berfungsi sebagai seorang manusia yang normal.
[34]
Ilmu santet adalah sihir berbentuk serangan jarak jauh dengan cara memuja objek
tak bernyawa seperti kain, serbuk kaca, benang dan kemenyan untuk menyebabkan kesakitan
terhadap mangsa tanpa disedari oleh orang yang berada disekeliling mangsa.
[35]
Ilmu teluh sama seperti ilmu santet cuma pemujaannya terhadap objek bernyawa
seperti katak, lintah dan lipan, bahkan sihir ini dapat dirasai oleh mangsa dan
orang disekelilingnya.
[36]
Ilmu tenung adalah sihir gabungan cara pemujaan ilmu santet dan teluh. Ia
digunakan bertujuan menyebabkan mangsa disakiti secara fizikal atau keluar
objek seperti jarum atau kaca dari anggota badan mangsa.
[37]
Biring adalah sejenis sihir yang boleh mengakibatkan mangsa mengalami penyakit
kulit yang sukar dirawat.
[38]
Yantra bermaksud rajah azimat, biasanya dalam bentuk bersegi yang diukir pada
emas, perak atau timah. Antara jenis yantra yang terkenal adalah Srichakra.
[39] Mantra
pula adalah mantera atau jampi lafaz tertentu yang mengandungi pemujaan
dewa-dewi yang ditetapkan untuk tujuan kebaikan ataupun keburukan.
[40] William Shaw, 1975, Aspect of
Malaysian Magic, Muzium Negara, Kuala Lumpur, hlm. 9
[41] Juraimi Bin Hussin v PP (1998) 1 MLJ
357
[42]
Mahyuddin Ismail (2011). Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS
Publication. hlm. 265
[43] Ahmad Taha, 1992, Kedoktoran
Islam, terj. Ismail Ibrahim, Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 3
[44] L.W. King, 1910, Mesopotamia : The Code of Hammurabi. Richard
Hooker (pnyt.), Washington State University. http://www.wsu.edu/~dee/MESO/CODE.HTM [9 Disember 2009]
[45]
Mahyuddin Ismail (2011). Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS
Publication. hlm. 23
[46] K.H.M Ali Usman, 1979, Manusia
Jin Mengganggu Ketenteraman, Jakarta : Penerbit Bulan Bintang, hlm. 51
[47] Geoffrey Scarre, 1987, Witchcraft
And Magic In 16th and 17th Century Europe. London :
MacMillan Education Ltd. hlm. 13
[48]
Mahyuddin Ismail (2011). Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS
Publication. hlm. 27
[49]
Ibid. hlm. 266-267
[50]
Richard Kickhefer, 1990, Magic in the
Middle Ages, Great Britain : Cambridge University Press, hlm. 179
[51] Susan C. Karant-nunn & Merry E. Wiesner-Hanks.
2003. Luther On Women : A Sourcebook, Cambridge : Cambridge Univesity
Press. hlm. 236
[52]
Mahyuddin Ismail (2011). Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS
Publication. hlm. 35
[53] Susan C. Karant-nunn & Merry E.
Wiesner-Hanks. 2003. Op. cit., hlm. 228
[54]
Stuart Gordon, 1993, The Encyclopedia of Myths & Legends. London :
Headline Book Publishing, hlm. 499
[55]
Onesmus K. Mutungi, The Legal Aspects of Witchcraft In East Africa With
Particular Reference To Kenya, 1977, hlm. 59
[56]
Mahyuddin Ismail, 2011, Ahli Sihir Ke
Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 268-273
[57] William Shaw, 1975, Aspect of
Malaysian Magic, Kuala Lumpur : Muzium Negara, hlm. 67
[58]
Mahyuddin Ismail, 2011, Op. cit., hlm. 273
[59] Ibid. hlm. 274
No comments:
Post a Comment