Thursday, September 2, 2010

Elemen Keterangan dalam Kes Che Abdullah Che Kob lwn Wan Jarah Binti Wan Daud

Jika diteliti dalam penghakiman di hadapan Panel Rayuan Mahkamah Syariah Kota Bharu Kelantan ini, terdapat tiga jenis elemen keterangan atau bayyinah yang digunakan dalam mensabitkan keputusan rayuan tersebut. Elemen keterangan atau bayyinah yang dimaksudkan adalah :

1) Iqrar
Elemen ini diperlihatkan dalam alasan penghakiman kes ini pada muka surat 203, perenggan akhir yang menyatakan :
“ Perayu melalui Peguam Syarienya mengaku tuntutan Responden yang menuntut harta sepencarian di atas semua tuntutan kecuali dua perkara sahaja iaitu tnah Lot no. 1147 Mukim Kampung Laut, Tumpat yang bernilai RM26,000.00 dan mendakwa bahawa tanah tersebut adalah pemberian hidup (hibah) datuk saudaranya Mek bt Minal dan sebuah perahu No.20 bernilai sebanyak RM3000.00 serta mendakwa perahu tersebut kepunyaan orang lain iaitu Awang bin Mat Zain…”
Frasa ‘mengaku tuntutan Responden’ menunjukkan bahawa elemen iqrar telah wujud dalam kes ini. Iqrar bermaksud suatu bentuk pengakuan dengan tujuan untuk membuktikan sesuatu perkara yang berkaitan dengan hak orang lain ke atas orang yang berikrar. Berdasarkan AKta keterangan 1950, kedudukan iqrar adalah selari dengan kedudukan pengakuan (admission). Umumnya, iqrar hanya mengikat dan memberi kesan kepada orang yang melakukan iqrar sahaja. Maka salah satu cara untuk mensabitkan tuntutan Responden sebagai harta sepencarian adalah iqrar dari Perayu sendiri berkenaan tuntutan tersebut.
Ini selari dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Sahl bin Saad bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W dan menyatakan bahawa dia telah berzina dengan seorang wanita. Rasulullah S.A.W menghantar utusan kepada wanita tersebut untuk bertanya kepadanya tentang apa-apa yang diiqrarkan oleh lelaki itu. Wanita tersebut menafikannya, maka Rasulullah S.A.W tidak mengenakan hukuman keatas wanita yang didakwanya melakukan bersama.
Hadis ini menunjukkan iqrar itu hanya memberi kesan ke atas orang yang melakukan iqrar sahaja. Dalam kes ini, tuntutan Responden adalah berkaitan dengan harta yang dikuasai oleh Perayu. Oleh itu, apabila iqrar itu dilafazkan Perayu, maka tuntutan beberapa harta yang diakui adalah termasuk dalam harta sepencarian. Tambahan pula iqrar atau pengakuan bukan dilakukan di luar Mahkamah, sebaliknya ia berlaku di hadapan Hakim Bicara dan di dalam Mahkamah.
Jika diteliti dalam penghakiman kes lain seperti dalam kes Pendakwa Syarie lwn Jalil Embong, Hakim Bicara menyatakan bahawa iqrar merupakan salah satu pembuktian yang terkuat dalam hukum syara’. Bahkan tiada perselisihan pendapat ulama’ berkenaan kedudukan iqrar ini. Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah an-Nisa’ ayat 135 :
Yang bermaksud –
Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.
2) Syahadah atau saksi
Apa yang dapat difahami dalam kes ini adalah terdapat bebrapa tuntutan dibenarkan oleh Mahkamah kerana ia diakui sendiri oleh Perayu. namun terdapat juga tuntutan yang tidak diakui oleh Perayu sepeti tanah Lot no. 1147 yang didakwa sebagai harta hibah dan sebuah perahu No.20 yang didakwa sebagai hak milik orang lain. Oleh itu dalam membuktikan dakwaan Perayu ini, beberapa keterangan sokongan diperlukan.
Pada muka surat 203 (perenggan akhir) dan 204 dalam penghakiman kes ini menyatakan :
“ …Dakwaan-dakwaan seperti ini memerlukan sokongan daripada saksi-saksi atau apa-apa keterangan lain yang boleh diterima mengikut Hukum Syarak dan undang-undang dan adalah menjadi beban yang tertanggung ke atas yang mendakwa (Defendan) selaku Perayu dalam kes ini untuk membuktikannya bagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaki Nabi (s.a.w) bersabda :-
البينة على المدعي واليمين على من أنكر
Yang mana bermaksud –
“Orang yang mendakwa hendaklah membuktikannya dengan keterangan saksi (bayyinah) dan sumpah ke atas orang yang menafikannya.”
Perayu telah mengemukakan 4 orang saksi bagi menyokong dakwaanya. Saksi-saksi yang ditampilkan adalah terdiri daripada 3 orang saksi lelaki dan seorang saksi wanita.
Saksi pertama merupakan ayah kandung kepada Perayu sendiri. Mahkamah Bicara telah menolak keterangan daripada saksi ini kerana terdapat elemen ohmah dari sudut kedudukannya dalam memberikan kesaksian. Bahkan jika keterangan saksi ini diterima, taraf kesaksiannya adalah bayyinah dan bukan bertaraf syahadah. Seksyen 83 (7) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Melaka 2002 menyatakan :
Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan buruknya dengan pihak menentang adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa untuk memberikan syahadah.
Ini adalah kerana hubungan anak dan bapa adalah dianggap mempunyai hubungan baik dan ada tohmahan jika keterangan diberikan untuk faedah dan kebaikan pihak yang satu lagi, maka dengan sebab itu ia tidak memenuhi kehendak dan syarat syahadah. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim, Nabi (s.a.w) bersabda :
لا تجوز شهادة لذي الظنة ولا ذي الحنة : والظنة التهمة والحنة العداوة
Yang bermaksud –
“ Tidak boleh diterima keterangan saksi yang ada tohmah dan ada permusuhan”
Dalam kes ini, walaupun empat saksi telah dikemukakan, namun ia bukan satu kemestian atau syarat bilangan saksi dalam kes ini. Keperluan empat orang saksi hanya diperuntukkan dalam kes zina. Manakala dalam kes ini mencukupi hanya dengan dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelakia dan dua orang saksi wanita. Seksyen 86 Enakmen Keterangan Syariah Melaka 1994 memperuntukkan :
(1) Keterangan dalam kes zina yang membawa kepada hukuman hudud tidak boleh diterima kecuali ia disaksikan oleh empat orang lelaki.
(2) Dakwaan seorang yang dikenali seorang kaya bahawa dia telah menjadi papa tidak boleh diterima kecuali ianya disokong oleh tiga orang saksi lelaki.
(3) Dalam perkara melihat anak bulan keterangan seorang lelaki yang adil boleh diterima.
(4) Keterangan seorang lelaki dalam keadaan yang berikut-
(a) keterangan seorang guru dalam kes kanak-kanak sekolah;
(b) keterangan pakar dalam menilai barang rosak;
(c) keterangan dalam penerimaan dan penolakan saksi;
(d) pemberitahuan memecat wakil;
(e) pemberitahuan keaiban barang jualan; boleh diterima.

(5) Keterangan seorang perempuan boleh diterima dalam perkara yang biasa dilihat oleh seseorang perempuan.
(6) Di dalam perkara-perkara lain dari yang disebut di atas, keterangan hendaklah diberi oleh dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki dan dua orang saksi perempuan.
Persoalannya apakah bilangan saksi ini mencukupi dalam menyokong dakwaan Perayu? Saksi pertama tidak diterima, saksi kedua adalah wanita iaitu keterangannya tidak sampai ke tahap syahadah kerana hanya seorang sahaja saksi wanita yang ditampilkan, saksi ketiga pula tidak mengetahui hal berkaitan dengan tanah yang didakwa Perayu sebagai harta hibah dan hanya saksi keempat sahaja yang menyokong dakwaan berkenaan dengan tanah.
Jika diteliti, kedudukan keterangan saksi bagi dakwaan Perayu berkenaan dengan tanah adalah tidak mencukupi bilangannya dari sudut undang-undang dan hukum syara’. Dalam erti kata lain, Perayu memerlukan seorang saksi sahaja lagi untuk menyokong dakwaannya berhubung dengan kedudukan tanah. Namun, peruntukan undang-undang tidak menyebut keterangan saksi mengikat pihak yang menggunakan khidmatnya. Disebabkan saksi pertama bagi Plaintif yakni Responden dalam kes ini menyatakan tanah itu bukan hasil daripada urusan jual-beli dan hanya didapati dalam ikatan perkahwinan, maka ia menyamai dengan dakwaan Perayu bahawa tanah itu diberikan secara hibah oleh Mek bt Minal. Oleh sebab itulah mengapa Mahkamah menerima dakwaan tanah tersebut sebagai harta hibah.
3. Qarinah
Terdapat satu lagi dakwaan yang perlu kepada apa-apa elemen keterangan yang lain dalam menyokong dakwaan Perayu berkenaan dengan sebuah perahu No. 20 yang dikatakan sabagai hak milik orang lain. Dalam kes ini, perayu telah menggunakan elemen qarinah dalam menyokong dakwaannya tentang kedudkan perahu No.20. Dalam penghakiman kes ini pada muka surat 205, perenggan a hingga c menyatakan :
“ …Berhubung dengan dakwaan Perayu bahawa perahu No.20 bukan kepunyaannya (Defendan)selaku Perayu, beliau telah kemukakan dokumen (lessen No. M 000316) yang dikeluarkan dibawah peruntukan Akta Perikanan 1985 adalah atas nama Awang Bin Mat Zain dan dengan itu Perayu selaku Defendan tidak terikat dengan dakwaan Plaintif berhubung dengan perahu ini dan tidak terikat juga dengan hukuman mahkamah kerana tidak menepati syarat-syarat dakwaan Plaintif bagaimana syarat dakwaan yang kedua dan yang kelima yang dijelaskan di atas…”
Dalam hal ini, lesen perahu tersebut merupakan qarinah untuk membuktikan pemilik sebenar perahu tersebut. Tafsiran undang-undang menyatakan qarinah bermaksud fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang satu lagi. Lesen perahu merupakan fakta yang berkaitan dengan pemilikan perahu tersebut, maka ia merupakan pembuktian yang kukuh dalam menyokong dakwaan Perayu.

Qarinah tersebut boleh disamakan dengan konsep keterangan keadaan (circumstantial evidence).Secara istilah,konsep tersebut bermaksud bukti atau segala wasilah yang dibenarkan untuk dikemukakan di mahkamah dengan tujuan membuktikan kewujudan sesuatu fakta atau sebaliknya. Ia juga bermaksud sebarang maklumat yang diperolehi daripada dokumen, benda atau saksi yang boleh membuktikan kewujudan fakta tertentu. Melalui bukti atau maklumat ini, kebenaran atau kepalsuan sesuatu fakta yang dipertikaikan dapat dipastikan kedudukannya. Ini bermakna keterangan adalah wasilah atau kaedah untuk membuktikan sesuatu fakta.

**p/s : Citation --- JH XX/II 196 --- Kes Rayuan Mal no : 03000 - 017 - 0004 - 2005

1 comment:

  1. How to Play 777 Casino Online for Real Money 2021
    777 Casino Online is one of the biggest 바카라추천사이트 names in online gambling 188 벳 in the world. There are hundreds of players 먹튀검증 worldwide 사다리 게임 사이트 who want to play and 네임드사다리 win a

    ReplyDelete