Wednesday, November 14, 2012

(Article Review) : Urban Regulation In Islamic Law Through An Ottoman Manuscript


Penulis : Mustapha Ben-Hamouche 
Sumber : Journal Of Islamic Law & Culture
___________________________________________________________________________________
1.0       Pendahuluan

Artikel ini ditulis oleh Moustapha Ben-Hamouche[1] berjudul “Urban Regulation In Islamic Law Through An Ottoman Manuscript”[2] dan diterbitkan dalam Journal of Islamic Law and Culture pada 2011. Artikel ini mengupas secara terperinci berkenaan dengan undang-undang sebagai mekanisme mengatasi masalah pertikaian yang wujud hasil dari kepesatan pembangunan urbanisasi. Halaman artikel sebanyak 24 muka surat ini mengandungi pendahuluan (introduction), subtopik artikel seperti Riyadh al-Qasimin, peraturan perbandaran (urban regulations), isu pembahagian aset, teknik, metod, dan instrumen persempadanan kehartaan dan pengiraan kawasan, kejiranan dan perkongsian, perparitan dan lorong laluan, kawalan bandar, Hisba dan tanggungjawabnya, asas perwakafan, pertikaian dan konflik, tanah, pokok dan air, kontrak jualbeli, sewa, derma dan seumpamanya, kemudahan lain seperti gereja, perilaku bukan Islam dan gantirugi pembunuh, seterusnya diakhiri dengan kesimpulan.


Secara umumnya, penulis artikel ini cuba untuk mengubah persepsi pesimistik para pengkaji Barat yang mengibaratkan bandar di negara Islam terutamanya semasa zaman ketamadunan Islam sebagai tidak tersusun. Menurut beliau, ini disebabkan kerana perbandingan yang dibuat pengkaji Barat adalah dengan menggunakan model cardo[3] dan  decumanus[4] yakni satu model urbanisasi negara kota Greco-Roman. Namun, persepsi ini mula berubah pada pertengahan abad ke-20 selepas pengkaji Perancis menemui 2 buah manuskrip perundangan Islam berkaitan perancangan bandar.

Penulis cuba membawa perbincangan berkaitan dengan impak undang-undang Islam ke atas perancangan bandar dalam tamadun Islam dengan merujuk kepada penemuan manuskrip perundangan Islam seperti Manuskrip Ibn al-Imam yang bertajuk al-Jidar,[5] Manuskrip Ibnu al-Ramli,[6] Manuskrip mazhab Hanafi bertajuk Kitab al-Hitan, Manuskrip mazhab Ibadi yang bertajuk Kitab al-Qisma wa Usul al-Aradheen, dan Manuskrip Empayar Uthmaniyyah bertajuk Riyadh al-Qasimin. Ini dapat dilihat dalam kesimpulan penulis yang menyatakan perbincangan fiqh berkaitan dengan peraturan bandar hanya melibatkan tiga mazhab iaitu Maliki, Hanafi dan Ibadi.

2.0       Latar Belakang
·         Peraturan Bandar (Urban Regulation) Era Tamadun Islam
Secara umumnya, bandar dalam Islam terbahagi kepada tiga iaitu Fustat (berasal dari kem tentera Islam yang berkembang menjadi wilayah al-amsar), Ribat (bandar kota) dan Balad al-Amirin (bandar diraja).[7] Bahkan, amalan di Malaysia tentang satu qaryah mempunyai satu masjid tersendri merupakan amalan terdahulu yang telah dilakukan oleh Rasulullah (S.A.W) di Madinah al-Munawwarah. Baginda telah memecahkan Madinah kepada beberapa khittah (unit kejiranan)[8] yang mempunyai masjid tersendiri sebagai pusat kepada khittah tersebut. Pentadbiran bandar dan wilayah dalam Islam semakin pesat seiring dengan perluasan wilayah Islam semasa pemerintahan Saidina Umar al-Khattab. Saidina Umar telah mewujudkan beberapa bandar al-Amsar baru seperti Kufah, Basrah dan seumpamanya, yang juga mempunyai masjid tersendiri sebagai pusat aktiviti.

Peraturan bandar dalam Islam pernah disentuh dalam sebuah hadis Nabi (s.a.w) dalam kitab adab al-Mufrad (Sohih Bukhari) tentang kepentingan untuk hidup dalam suasana bandar Islam. Dapat difahami dengan maksud suasana bandar Islam adalah suasana yang berlandaskan qawa’id fiqhiyyah seperti menghindar dari menyakiti orang lain walaupun tindakan tersebut menguntungkan diri atau tidak, serta berlandaskan prinsip-prinsip maqasid syariah. Sungguhpun tiada nas khusus yang membicarakan secara terperinci dari sudut susunan dan pembentukan sesebuah bandar, namun perlu difahami bahawa amalan serta sejarah ketamadunan Islam serta kelahiran bandar kota Islam terkenal seperti Baghdad, boleh dijadikan sebagai sandaran rujukan.

Dalam era ini – terutamanya dalam kerangka Malaysia- artikel ini adalah berkisar tentang perundangan, polisi, instrumen, strategi dan mekanisme pembangunan dan perancangan Bandar. Antara statut yang berkaitan pada masa kini adalah seperti Kanun Tanah Negara 1965, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (akta 171), Akta Perancangan Bandar dan Desa (1976) (akta 172), Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) (pindaan) 2007, Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2007, Akta Jalan, Perparitan dan Bangunan (Pindaan) 2007, Akta Penyenggaraan dan Pengurusan Bangunan dan Harta Bersama 2007, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, AKta Pengambilan Tanah 1960, Akta Pemuliharaan Tanah 1960, Akta Kontrak 1950 (akta 136) dan seumpamanya.[9]

·         Manual Perundangan Cami Muhamammad Efendi
Nama sebenar pengumpul manual perundangan ini adalah Cami Muhammad Efendi b. Ahmad Ibrahim Edernawi Efendi. Pada awalnya beliau merupakan seorang qadi di Kaherah, kemudian ditukarkan untuk berkhidmat ke beberapa buah bandar di Anatolia. Dilahirkan pada 1649 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1723. Manual perundangan ini dianggap sebagai manuskrip yang menjadi asas kepada rujukan pertikaian isu berkaitan dengan perbandaran semasa pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.

Manual ini pada awalnya digubal sebagai rujukan kepada para qadi Uthmaniyyah dalam membantu para qadi untuk membuat keputusan dan penghakiman. Jika diteliti dengan lebih mendalam, manual ini memberi kebebasan berkontrak (sama seperti prinsip kontrak sivil), salah satu ciri-ciri yang jelas hasil dari pengaruh mazhab Hanafi. Ini kerana manual ini merupakan kompilasi hukum dan pendapat dari Abu Hanifah, Abu Yusuf dan Muhammad al-Shaybani. Diberi judul Riyadh al-Qasimin, manual ini menyentuh beberapa aspek seperti ejen yang dilantik  untuk proses pembahagian harta, kelayakannya, cara pembahagiannya, aset yang boleh dibahagi dan tak boleh dibahagi, serta pembahagian semula aset tersebut.

3.0       Analisis Kritikal
Penulis dalam artikel ini cuba menghuraikan beberapa aspek berkaitan perundangan Islam dalam perancangan bandar dengan berpandukan kepada manuskrip Riyadh al-Qasimin yang dikumpul oleh Cami Muhammad Efendi. Ini dapat dilihat melalui rajah carta pai yang dimuatkan dalam halaman 289 artikel ini yang merujuk kepada isu-isu berkaitan bandar yang disentuh dalam manuskrip tersebut. Melalui carta pai ini, penulis telah menghuraikan secara terperinci tentang isu-isu yang terangkum dalam manuskrip tersebut.

Terdapat juga beberapa gambarajah yang berkaitan dengan masalah pertikaian perbandaran seperti jalan mati, rumah di tepi jalan raya, rumah bertingkat dan seumpamanya. Gambarajah ini diambil dari manuskrip asal dan ia dikuatkan dengan pengakuan penulis yang menjumpai manuskrip ini ketika menjadi visiting scholar di Institut Francais des Etudes Anatoliennes di Istanbul pada Ogos 1997. Ia seolah-olah cuba menjadi syarah atau huraian kepada manuskrip tersebut denga menyentuh isu berkaiatn jalanraya sehingga ke jalan mati, kejiranan sehingga ke isu berkaitan bukan Islam dan kematian di kaki lima. Sungguhpun begitu, perbincangan fiqh dalam masalah-masalah berkaitan hanya disentuh secara ringkas. Mungkin disebabkan oleh subtopik yang terlalu banyak menyebabkan perbincangan fiqh yang dimuatkan dalam artikel ini adalah yang diterima pakai umum oleh majoriti orang Islam.

Oleh kerana artikel ini cuba melihat perancangan dan pembentukan bandar menurut perspektif undang-undang, maka persepktif dari sudut teologi, sejarah pembentukan bandar Islam dan sosiologi atau contoh kes boleh dianggap sebagai minimal atu hampir tiada dimuatkan dalam artikel ini. Bahkan contoh-contoh yang diberikan bagi setiap subtopik atau isu berkaitan adalah bersifat imaginasi perundangan atau contoh sedia ada termaktub dalam manuskrip tersebut. Sebagai contoh, artikel ini juga menyentuh tentang hak privasi dalam hidup berjiran, dan hak ini sebenarnya telah digariskan nas al-Quran dalam surah an-Nur.[10] Namun, artikel ini masih secara komprehensif, ringkas dan padat dalam membicarakan tajuk berkaitan peraturan perbandaran dari sudut undang-undang Islam.

·         3.1       Kekuatan
o   Merangkumkan semua topik yang disentuh dalam manuskrip yang dirujuk
o   Artikel yang bersifat komprehensif, ringkas dan padat.

·         3.2       Kelemahan
o   Tiada contoh kes dan nas-nas teologi.
o   Sejarah bandar Islam sangat minimal.

4.0       Komentar
Walaupun artikel ini cuba untuk mengubah persepsi pengkaji Barat terhadap perancangan bandar dalam tamadun Islam, tetapi penulis tidak pula memuatkan sumber nas yang menjadi asas ketamadunan Islam itu sendiri. Sebaliknya penulis membuat perkaitan  khusus kepada manuskrip yang merupakan kompilasi hukum fiqh mazhab Hanafi. Namun, kekurangan ini tidak mencacatkan objektif sebenar penulisan artikel ini dan adalah dicadangkan supaya artikel ini dipanjangkan sebagai penyelidikan di masa hadapan dalam konteks Malaysia sebagai negara quasi Islam.

5.0       Kesimpulan
Artikel ini menyentuh satu lagi sisi yang kurang diberi perhatian oleh ahli akademik dan pelajar Islam yang dianggap asing bagi kita sedangkan sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang asing dalam ketamaduanan Islam. Kewujudan artikel ini mampu memberi impak kepada pembangunan dinamisme perbahasan fiqh moden dan menjana perkembangan reform dalam perundangan Islam semasa.

Walaupun pengkaji Barat cuba membandingkan dengan model urbanisasi Greco-Roman bekaitan dengan jalan utama-jalan penyambung (cardo-decumanus),[11] tamadun Islam juga mampu berbangga dengan kewujudan model urbanisasi yang hampir serupa pada zaman Saidina Umar iaitu konsep manahijul ‘uzma (jalan-jalan utama) dan dur (penempatan berkelompok tersusun). Oleh itu, kajian berkaitan perundangan perancangan bandar dalam Islam adalah sesuatu yang diperlukan dalam pembentukan sesebuah negara Islam terutama di Malaysia.


[1] Department of Civil Engineering & Architecture, College of Engineering, University of Bahrain, Bahrain.
[2] Mustapha Ben-Hamouche (2010) : Urban Regulation In Islamic Law Through An Ottoman Manuscript, Journal of Islamic Law and Culture, 12:3, 248-307
[3] Juga dikenali sebagai cardo maximus yakni jalan utama yang mempunyai kedai dan gerai di sepanjang jalannya.
[4] Juga dikenali sebagai decumanus maximus iaitu satu jalan yang menghubungkan antara jalan utama dengan lokasi lain.
[5] Juga dikenali sebagai al-Qada fi al-Bunyan merupakan kompilasi naskhah hukum fiqh mazhab Maliki.
[6] Dianggap sebagai rujukan utama dalam bidang Fiqh al-Bunyan, juga kompilasi hukum fiqh mazhab Maliki.
[7] Ismawi Bin Hj Zen, “Sejarah Perkembangan Fizikal Bandar-Bandar Islam Semasa Zaman Rasulullah dan Para Khluafa al-Rasyidin : Prinsip-Prinsip Yang Kita Boleh Pelajari Daripadanya”, Jurnal Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia, 21-32
[8] Ibid. Menurut al-Bukayr (740 M) terdapat 9 khittah di Madinah al-Munawwarah.
[9] Che Zuina Binti Ismail (2012),”Pembangunan Tanah Wakaf : Analisis Menurut Perundangan Dan Pelaksanaannya Di Malaysia”, Ph.D thesis, Universiti Malaya.
[10] Al-Quran, Surah an-Nur ayat 30.
[11] Wikipedia, http://en.wikipedia.org/wiki/Cardo, pada 8 November 2012

No comments:

Post a Comment