Sunday, December 9, 2012

(ESEI - ARTIKEL) Aspek-Aspek Klasikal Dalam Undang-Undang Keterangan Islam dan Kesesuaiannya Dalam Masyarakat Global Masa Kini


1.0       Pengenalan

Arus modenisasi yang dikecapi masyarakat global masa kini menyebabkan statut perundangan terutamanya aspek keterangan perlu menjalani proses semakan semula supaya ia selari dengan tuntutan semasa. Undang-undang syariah juga terkena tempiasnya. Sehingga ke hari ini, tokoh perundangan dan ahli akademik masih menjalankan proses semakan semula statut undang-undang keterangan Islam.[1] Oleh itu, artikel ini cuba untuk mengeluarkan semula aspek-aspek keterangan yang telah digariskan oleh fuqaha dan ulama’ terdahulu dan menilai sejauhmana ia masih bersesuaian dengan situasi semasa. Penulisan ini akan merujuk kepada perkembangan terkini di Malaysia sebagai sampel kepada masyarakat global kerana Malaysia menerima pakai keempat-empat pandangan mazhab ahli sunnah wal-jamaah, disamping perkembangan yang progresif ke arah mengemaskini statut keterangan Islam sedia ada di negeri-negeri di Malaysia.


2.0       Objektif

Penulisan ini bertujuan untuk menjelaskan aspek-aspek klasikal dalam undang-undang keterangan Islam. Ini dilakukan dengan menyenaraikan seberapa banyak terminologi yang didapati dari penulisan artikel yang lain dan kitab-kitab fiqh yang membincangkan tentang undang-undang keterangan dan pembuktian.

Seterusnya penulis akan mengkaji sejauhmana undang-undang keterangan Islam boleh dilestarikan dengan kesesuaian peredaran zaman. Ini penting untuk mengenalpasti adakah aspek keterangan yang telah digariskan dalam Islam bersesuaian dengan perkembangan masyarakat setempat.

Akhir sekali, penulis ingin meneliti sejauhmana prinsip undang-undang keterangan Islam menerima betuk keterangan yang bersifat saintifik dan baharu. Apatahlagi apada zaman ini, variasi teknologi moden yang dicipta dan kepakaran manusia yang pelbagai menyebabkan bahan bukti mudah untuk dieskploitasi.

3.0       Konsep Undang-Undang Keterangan

Definisi
Keterangan dalam Islam sering dikaitkan dengan terma al-bayyinah. Secara umumnya, al-bayyinah ini merangkumi semua bentuk keterangan yang diterimapakai di Mahkamah. Menurut Abu al-Qasim al-Asfahaniy, al-bayyinah adalah satu pentunjuk yang jelas sama ada secara logik akal mahupun diketahui melalui pancaindera.[2] Ibnu Qayyim dan Ibnu Farhum seterusnya menjelaskan bahawa terdapat beberapa terma yang merujuk kepada maksud yang sama dengan al-bayyinah iaitu al-hujjah, al-dalil, al-burhan, al-ayat, al-tabsirat, al-alamat dan al-ammarat, yang membawa maksud  sesuatu yang menjelaskan yang benar, menepati apa yang berlaku selari dengan hakikat sebenar.[3]

Manakala definisi al-Kasaniy tentang keterangan adalah selari dengan penulisan G.D. Noke iaitu bukti kepada suatu fakta yang diambil di hadapan Qadi atau dalam sidang penghakiman, sama ada melibatkan perlakuan (actus reus) mahupun keadaan mental seseorang (mens rea).[4] Secara umumnya, konsep keterangan menurut pandangan fuqaha’ dan tokoh perundangan Barat tidak banyak bezanya yang mana menjurus kepada sebarang fakta, kecenderungan dan persediaan, niat, keyakinan atau kepercayaan tentang kewujudan sesuatu perkara yang didakwa.[5]

Al-bayyinah dan keterangan (evidence).

Kebanyakan tokoh perundangan konvensional berselisih dalam meletakkan skop perbahasan definisi keterangan sama ada penekanan diberikan kepada alat pembuktian (means of proof) atau kepada kesan pembuktian (proof).[6] Manakala fuqaha’ pula berselisih dalam menjelaskan maksud bayyinah sama ada selari dengan  syahadah atau sebaliknya.

Al-Bayyinah dan al-Syahadah

Para fuqaha tidak sependapat dalam menjelaskan perbezaan terma bagi konsep keterangan dalam Islam iaitu al-bayyinah  dan al-syahadah. Al-syahadah mempunyai pelbagai maksud antaranya mu’ayyanah,[7] yakni memberi kesaksian terhadap perkara yang benar dan tertentu,[8] ada di tempat tertentu, [9] dan juga kehadiran.[10]

Sesetengah fuqaha menyamakan konsep al-bayyinah dengan konsep al-syahadah. Ini berasaskan terma lain yang digunakan bagi merujuk kedua-dua konsep ini iaitu burhan, dilalah, ayat, tabsirat, ‘alamah dan ‘ammarah yang mempunyai maksud yang hampir sama.[11] Ini disokong dengan firman Allah Taala yang menggunakan kalimah al-syahahadah  bagi merujuk maksud al-bayyinah :

“dan orang-orang Yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan Yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang Yang fasik;”
                                                                                                                                                Surah an-Nur (24) : 4

Bahkan terdapat juga firman Allah Taala yang lain yang merujuk kepada penggunaan kalimah al-bayyinah yang membawa maksud al-syahadah.

Menurut al-Hurri,  kedua-duanya adalah berbeza dan tidak sama maksudnya. Bahkan al-syahadah merupakan sebahagian dari konsep al-bayyinah kerana al-bayyinah adalah satu bukti menyeluruh yang menjelaskan kebenaran suatu fakta.[12] Ini dikuatkan lagi dengan penulisan Abdul Muin Abdul Rahman yang menyatakan Ibn Qayyim menganggap siapa yang mengehadkan konsep bayyinah kepada bilangan saksi, maka dia tidak menjelaskan maksud sebenar konsep al-bayyinah.[13] Dalam kitab I’lam al-Muwwaqi’in,[14] ada menukilkan kata-kata Ibn Qayyim ini iaitu :

البينة في كلام الله و رسوله و كلام الصحابة اسم لكل ما يبين الحق فهي اعم من البينة في اصطلاح الفقهاء حيث خصوها بالشاهدين أو الشاهد واليمين
4.0       Aspek Undang-Undang Keterangan Islam

Bentuk Keterangan

Mahkamah Syariah telah mengguna pakai beberapa elemen keterangan dan pembuktian yang menjadi amalan dalam perundangan Islam. Hanya pengakuan (iqrar), keterangan saksi (syahadah) dan sumpah (yamin) merupakan bentuk keterangan yang disepakati para Fuqaha’.[15]

Al-Iqrar (Pengakuan)
Bermaksud mengaku atau membuat pengakuan.[16] Dari sudut istilah, iqrar bermaksud memberitahu seorang akan sabit hak orang lain ke atas dirinya walaupun buat masa akan datang tetapi bukanlah semata-mata pemberitahuan bahkan pada hakikatnya iqrar itu juga adalah ikhbar (pemberitahuan) dan dari sudut lain bermaksud insya’ (mencipta sesuatu).[17]

Al-Syahadah (Saksi)
Syahadah boleh didefinisikan sebagai suatu pemberitahuan yang benar bagi mensabitkan sesuatu hak dengan lafaz asyhadu dalam Mahkamah.[18] Cara pembuktian ini juga disepakati oleh para ulama’ sebagai satu cara pembuktian dalam undang-undang keterangan Islam. Bahkan tiada pendapat ulama’ yang menolak atau menafikan kedudukan syahadah dalam Islam.[19]

Al-Yamin (Sumpah)
Secara umumnya, al-Yamin disyariatkan bertujuan bagi menguatkan sama ada dari aspek kebenaran dalam mensabitkan hak serta penafian ataupun tatkala gagal dalam mengemukakan bukti dan keterangan. Sumpah ini juga kadangkala disebut al-yamin al-asliyyah, al-wajibah, al-rafi’ah, yamin jalibah, yamin tuhmah dan yamin istizhar.[20] Jika satu pihak enggan bersumpah selepas diarahkan oleh Mahkamah untuk berbuat demikian, maka pihak tersebut dianggap telah melakukan nukul yamin dan mahkamah akan mengarahkan satu pihak lagi untuk mengangkat sumpah.

Al-Qarinah (Fakta Berkaitan atau Keterangan Keadaan)
Qarinah boleh disamakan dengan keterangan keadaan (circumstantial evidence). Ia bermaksud bukti atau segala wasilah yang dibenarkan untuk dikemukakan di mahkamah dengan tujuan membuktikan kewujudan sesuatu fakta. Ini bermakna qarinah adalah satu tanda jelas untuk membuktikan sesuatu fakta yang tersembunyi.[21]

Al-Ra’yu al-Khabir (Pendapat Pakar)
Seksyen 33, Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 membenarkan pendapat saksi diterima sebagai keterangan di Mahkamah dengan syarat saksi tersebut merupakan seorang pakar dan pendapatnya adalah berkaitan dengan fakta yang dikemukakan. Bahkan keterangan pakar ini ada diperjelaskan oleh Prof Dr Anwarullah sebagai salah satu bentuk keterangan yang diterima dalam Islam.[22]

Al-Qiyafah
Dalam bidang sains, qiyafah sering kali dirujuk dengan perkataan anthroposcopy atau physiognomy iaitu satu bentuk kemahiran mengenalpasti susur galur keturunan seseorang apabila berlakunya percampuran keturunan tersebut.[23] Orang yang pakar dalam qiyafah digelar sebagai qa’if.[24] Namun ia berbeza dengan keterangan pakar kerana keterangan pakar dimasukkan sebagai qarinah. Bahkan Ibn Qayyim meletakkan keterangan pakar terasing daripada qarinah kerana keterangan pakar boleh mencapai tahap yakin.[25]

Amalan qiyafah ini selari dengan hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah yang bermaksud :
“Pada suatu hari Rasulullan s.a.w datang kepadaku dalam keadaan amat sukacita sehingga jelas terpancar kecantikan wajahnya. Katanya : Tahukah kamu bahawa Mujazzir al-Mudaljiy[26] telah datang berjumpaku. Dia telah melihat Usamah (si anak) dan Zaid (si bapa) yang menutup muka dan kepala mereka dengan sehelai kain dan memperlihatkan kaki kedua-duanya sahaja. Lalu Mujazzir meneka bahawa kaki kedua-dua mereka adalah daripada keturunan yang sama.”[27]

Al-Kitabah (Dokumen)
Beradasarkan seksyen 3, Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 mentafsirkan keterangan dokumen sebagai salah satu bentuk keterangan yang diterimapakai di Mahkamah Syariah. Kedudukan keterangan dokumen menurut hukum syara’ diperjelaskan oleh Noor Inayah Yaakub dan Jasri Jamal dalam artikel mereka berjudul Keterangan Dokumen Dan Teknologi.[28]

Ilm al-Qadi
Ia merupakan satu bentuk pengetahuan atau maklumat yang diperolehi secara peribadi oleh hakim berkaitan dengan kes yang dihadirinya.[29] Secara prinsipnya, seorang hakim akan menetapkan keputusan berdasarkan maklumat dan fakta yang diperolehi ketika perbicaraan. Mengikut Imam Syafie, pengetahuan dan maklumat Hakim yang diperoleh di luar Mahkamah boleh dijadikan asas hukuman jika ia diperolehi oleh dua orang saksi lelaki, manakala Mazhab Hanafi pula menolak keterangan ini dalam kes hudud. Namun berdasarkan pendapat Mazhab Zahiri, keterangan ini perlu digunakan dalam semua kes termasuk hudud, bahkan Ibnu Hazm menambah bahawa pengetahuan Hakim merupakan keterangan yang perlu didahulukan berbanding pengakuan (iqrar) dan keterangan saksi.[30]

Al-Qasamah
Secara umumnya, qasamah adalah salah satu bentuk sumpah. Namun ia berbeza daripada sumpah al-Yamin. Jumhur yang terdiri daripada Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali berpendapat qasamah merupakan sumpah yang dibuat oleh wali al-dam untuk mendakwa penduduk yang menjumpai mangsa pembunuhan ditempat mereka.[31] Qasamah juga didefinisikan sebagai sumpah yang dibuat oleh penduduk sesuatu tempat terhadap satu pembunuhan yang tidak diketahui siapa pembunuhnya. Definisi ini disokong oleh pendapat Mazhab Hanafi dengan menambah lafaz sumpahnya :
            “Demi Allah aku tak membunuhnya dan aku tak tahu siapa pembunuhnya.”[32]

Li’an
Li’an adalah prosedur sumpah yang dikenakan terhadap suami apabila suami tersebut menuduh isteri berzina tanpa dapat mengemukakan empat orang saksi lelaki Muslim yang adil.[33]

Al-Qur’ah (Undian)
Dr. Karim Zaidan menjelaskan bahawa undian boleh dianggap sebagai salah satu bentuk keterangan bagi pembuktian di mahkamah, namun kedudukannya adalah di akhir turutan bentuk keterangan.[34] Dalam buku yang sama, Dr. Karim Zaidan memetik kata-kata al-Qarafi dalm kitabnya ‘al-Furuq’ yang menghuraikan bahawa undian hanya dibuat bagai pertikaian yang wujud persamaan beberapa hak dan kepentingan seperti kes hadhanah, penentuan siapa yang akan bersumpah dahulu dalam kalangan pihak yang bertikai, antara dua orang pemungut barang tercicir, penentuan saham syarikat, antara dua orang yang mendakwa ke atas satu benda, undi dalam kes pemerdekaan dan kes talak.[35]

 Jenis dan Mutu Keterangan[36]

Jenis Keterangan

Bayyinah Mubasyarah dan Bayyinah Ghayr Mubasyarah
Juga dikenali dengan keterangan langsung dan tidak langsung. Keterangan langsung adalah seperti keterangan material (dilalah maddiyyah), real evidence (bayyinah haqiqiyyah/zahirah/ mu’ayyanah) dan demonstrative evidence (bayyinah taswiriyyah) seperti mengemukakan bukti senjata yang digunakan dalam kes bunuh,[37] keterangan bersumpah saksi (testimony/syhadah ‘ala yamin), oral/parole evidence (bayyinah shafawiyyah) dan personal evidence (dilalah al-kalamiyy) dan keterangan lisan juga dianggap sebagai keterangan langsung.

Keterangan tak langung pula seperti keterangan keadaan (circumstantial evidence), dikenali juga dengan terma keterangan anggapan (presumptive evidence/ dilalah al-mabniyyah ‘ala qarinah) dan keterangan kesimpulan (inferential evidence/ dalil istintajiyy), keterangan dengar cakap (hearsay evidence/ syahadah sima’iyyah). Ia juga kadang-kadang dirujuk sebagai unoriginal evidence (mendapat maklumat dari pihak ketiga) dan original evidence (maklumat hasil tanggapan saksi).

Bayyinah Awwaliyyah
Lebih dikenali dengan terma keterangan primer (primary evidence) yang merujuk kepada penggunaan keterangan lisan dan dokumen[38] sebagai bukti tertinggi mutunya.

Bayyinah Thanawiyyah
Dikenali sebagai keterangan sekunder (secondary evidence) dan lawan kepada keterangan primer. Mutu keterangannya lebih rendah daripada keterangan primer. Kebiasaannya keterangan sekunder akan digunakan jika keterangan primer tak dapat dikemukakan ke mahkamah.

Bayyinah Mustanadiyyah
Ia adalah keterangan dokumen sama ada dokumen primer dan sekunder, atau dokumen awam[39] atau persendirian.

Syahadah Sulukiyyah
Lebih dikenali dengan keterangan watak (Character Evidence) yang merangkumi reputasi, pembawaan (disposition) atau tabiat, dan kesalahan lalu.

Syahadah Ijtahadiyyah
Dikenali keterangan pendapat oleh saksi termasuklah non-expert (hanya tentang pengalaman harian manusia) atau expert (pakar).

Mutu Keterangan

Bayyinah Maqbulah
Keterangan kompeten yakni satu keterangan yang diperlukan ada dalam membuktikan suatu dakwaan.

Bayyinah Kafiah
Keterangan memuaskan merujuk kepada jumlah bukti yang memuaskan minda (unprejudiced mind). Dalam kes jenayah perlu sampai ke tahap beyond reasonable doubt.

Bayyinah Idafiyyah
Keterangan yang bersifat kumulatif iaitu berkumpulnya bukti-bukti yang sama jenis bagi menunjukkan perkara yang sama.

Bayyinah Mu’ayyidah
Keterangan yang menyokong antara bukti-bukti yang berlainan sifat bagi menunjukkan perkara yang sama.

Dalil Zahir
Dalam kes jenayah ia dikenali dengan keterangan Prima Facie yang membawa maksud keterangan yang cukup untuk melepaskan beban bukti, atau keterangan fakta yang mencukupi untuk dilakukan kesimpulan kewujudan sesuatu fakta yang tidak bersifat konklusif.

Dalil Qati’e
Juga bermaksud keterangan konlusif, satu keterangan yang tidak boleh disangkal.


Beban Bukti Dan Perpindahan Beban Bukti

Sebelum penghakiman dibuat, hakim terlebih dahulu perlu yakin dengan bukti yang telah dikemukakan di hadapannya. Keyakinan ini diperoleh melalui pengamatannya berdasarkan keterangan yang dikemukakan.[40] Beban bukti ialah tanggungjawab yang terletak pada pihak yang berkaitan dengan sesuatu fakta yang menjadi isu yang mesti ditunaikan jika pihak tersebut ingin memenangi isu yang dipertikaikan.[41]

Dalam kes mal (sivil), beban bukti adalah terletak kepada orang yang membuat tuntutan. Ini selaras dengan prinsip :
البينة على المدعي واليمين على من انكر
Prinsip ini bermaksud pihak yang menuntut bertanggungjawab untuk mengemukakan bukti atau keterangan (bayyinah) dan pihak yang kena tuntut dikehendaki bersumpah untuk menafikan tuntutan tersebut.[42] Manakala dalam kes Aishah Abd. Rauf  lwn. Wan Mohd Yusof berkaitan permohonan poligami, Jawatankuasa Rayuan telah memutuskan bahawa beban bukti kemampuan berpoligami terletak atas pemohon (si suami).[43] Sumpah penafian tuntutan yang dilakukan oleh pihak yang kena tuntut adalah merupakan contoh perpindahan beban bukti dalam kes mal.
Manakala dalam kes jenayah, beban bukti terletak atas bahu pihak Pendakwa sehingga mencapai tahap kes prima facie. Selepas tahap prima facie, maka pihak tertuduh akan dikehendaki untuk membela diri. Prosedur pembelaan ini menyaksikan kewujudan perpindahan beban bukti daripada Pendakwa kepada tertuduh untuk menafikan fakta yang telah dikemukakan oleh Pendakwa sebelum ini.

Darjah Pembuktian

Darjah pembuktian bermaksud tahap atau piawai yang berkaitan dengan kepercayaan Mahkamah. Darjah pembuktian boleh diklasifikasikan seperti berikut [44]

(a) Yakin : 100 %
(b) Zan al-ghalib (besar kemungkinan/ berat sangka / tanpa keraguan yang munasabah): 90-99 %
(c) Zan (pertimbangan kemungkinan) : 51 – 89 %
(d) Syak : 50 %
(e) Waham : bawah 49 %

Darjah pembuktian dalam kes mal adalah cukup sekadar pada tahap zan atau pertimbangan kemungkinan. Manakala dalam kes jenayah, darjah pembuktiannya mestilah berada pada tahap ghalabah al-zan. Ini kerana prinsip pembuktian dalam kes jenayah adalah melepasi tahap keraguan munasabah (beyond reasonable doubt).


5.0       Analisis dan Komentar


Keterangan pakar

Pada dasarnya, pendapat saksi tidak diterima pakai dalam sidang mahkamah. Namun, seorang saksi boleh mempunyai kelayakan untuk diterima pendapatnya jika dia adalah seorang pakar dari sudut pengetahuan, kemahiran, pengalaman serta pernah melakukan kajian berkaitan.[45] Majallah al-Ahkam al-Adliyyah juga mengiktiraf keterangan pakar sebagai kesaksian yang asli dan tulen sungguhpun pakar tersebut tidak melafazkan lafaz syahadah sebagai saksi.[46] Namun, keterangan pakar seperti doktor dan ahli perubatan, atau jika terdapat percanggahan antara keterangan pakar, tidak boleh membawa kepada hukuman hudud, sebaliknya hukuman ta’zir sahaja boleh dikenakan.[47]

Qiyafah vs DNA

Perbincangan mengenai Qiyafah dan DNA merupakan campuran antara perbahasan tentang keterangan Pakar dan keterangan Dokumen. Qiyafah adalah pembuktian mensabitkan nasab berasaskan persamaan antara seorang dengan yang lain.[48] Dari sudut istilah, ia bermaksud perbuatan orang yang ada kemahiran mengenali salasilah keturunan seseorang apabila berlakunya percampuran keturunan tersebut.[49]

Jumhur sepakat mengharuskan amalan qiyafah, namun Imam Abu Hanifah menolaknya dengan hujah ia berasaskan tekaan semata-mata. Shofian Ahmad menjelaskan perbezaan pendapat ini dan membuat kesimpulan bahawa pendapat jumhur adalah pendapat terpilih kerana ada asas nas al-Quran dan sunnah yang kukuh.[50]

Imam Maliki berpendapat bilangan pakar qiyafah yang diperlukan dalam sabitan nasab adalah dua orang. Jika hanya ada seorang, masih boleh diterima namun jika pendapatnya bercanggah dengan pakar qiyafah yang lain, maka keterangannya akan digugurkan.[51]

Penggunaan ujian DNA (Asid Deoksiribonukleik) pula dapat menentukan hubungan biologi antara anak, ibu dan bapa tanpa nikah.[52] Penggunaan DNA juga adalah merupakan kaedah pembuktian yang paling kontemporari[53] dan mudah disamping mempunyai ketepatan yang tinggi iaitu sebanyak (99.99%). Kaedah ini hampir sama dengan qiyafah[54] atau physiognomy yang telah diperkenalkan sejak zaman Nabi SAW dan dipraktikkan oleh para sahabat.[55]

Struktur awal DNA telah dicadangkan oleh Watson dan Crick dalam “Molecular Structure of Nukleic Acid”[56], manakala Erwin Chargraft dari Universiti Columbia telah mencadangkan dalam tahun 1950 bahawa semua sampel DNA mengandungi 4 nekletida[57] yang sama. Dr. Alex Jeyreys adalah pakar yang mula-mula membawa hasil kerjanya terhadap DNA dan memberi keterangan tentang ujian DNA di mahkamah pada tahun 1986. 

Sejak tahun itu, keterangan DNA adalah merupakan keterangan pakar (pakar forensik) yang penting dan digunakan di Mahkamah bagi membuktikan identiti pesalah jenayah.[58] Manakala di Malaysia, penggunaan DNA telah digunakan secara meluas di Mahkamah Sivil manakala di Mahkamah Syariah, Hakim Mahkamah Syariah telah mula menggunapakai DNA sebagai bayyinah atau pembuktian kes bagi sabitan pengesahan status nasab bagi kes Harta Pusaka, Hak Penjagaan Anak (Hadhanah) dan Jenayah Syariah dalam kes persetubuhan haram.

Sheikh Nizar al-Shu’aybi[59] semasa persidangan ke-16 bagi Forum Islamic World League telah menjelaskan keadaan-keadaan yang membolehkan DNA diterima sebagai satu kaedah pembuktian bagi kesalahan ta’zir sahaja seperti untuk menyelesaikan pertikaian keturunan akibat kesilapan berkahwin dengan darah daging sendiri, untuk mengenalpasti bayi yang baru lahir di hospital dan mencari keluarga yang hilang akibat bencana dan peperangan.[60]

Bilangan saksi, Saksi Wanita dan bukan Islam

Bilangan saksi yang digariskan dalam Islam adalah seperti empat saksi untuk jenayah zina,[61] tiga saksi lelaki (Imam Ahmad dan Mazhab Syafie) bagi masalah pembuktian pembayaran zakat,[62] dua saksi lelaki yang terpakai dalam semua kes kecuali jenayah zina (pendapat Imam Malik, Syafie, Abu Ubayd dan Abu Thawr),[63] satu saksi lelaki bersamaan dua saksi wanita dalam kes kehartaan[64] (Hanafiyyah berpendapat selain kes hudud,[65] manakala Zahiriyyah pula selain kes zina[66]), satu saksi bersama sumpah hanya dalam kes kehartaan sahaja (pendapat Khulafa’ al-Rasyidun, Umar Abd al-Azizi, Shurayh, Malik, Ibn Abi Layla, Abi al-Zinad, al-Syafi’e dan Imam Ahmad)[67] dan satu saksi lelaki dalam semua kes kecuali dalam hal penentuan bulan Ramadhan (Qadi Shurayh, Zaharah Ibn Abi Aufah dan Ibn Qayyim).[68]

Undang-undang sivil tidak mementingkan bilangan saksi. Sedangkan adalah bahaya untuk berpegang kepada bukti yang tidak selari (uncorroborated testimony), sebagaimana yang dijelaskan Sarkas dalam kes saksi ‘Brooks’ yang menuduh 2 orang lelaki mencederakan mangsa. Mereka dihukum 10 tahun penjara dan dua tahun sebelum kematian, Brooks mengaku kesalahannya membuat tuduhan palsu dan mereka dibebaskan.[69]

Bahkan dalam undang-undang sivil, jantina bukan satu penghalang kepada kesaksian. Perbezaan pendapat dari kalangan fuqaha’ tentang penerimaan kesaksian wanita wujud bukan kerana diskriminasi gender sebaliknya lebih menjurus kepada kaedah kesaksian yang adil dan ketepatan dalam mengemukakan keterangan.[70] Wan Nor Ainon pula menegaskan bahawa tiada prejudis terhadap kesaksian wanita dalam Islam selagimana mereka berpegang teguh sumber perundangan hukum syarak.[71]
 
Manakala Dr. Karim Zaidan pula menyatakan tiada perselisihan pendapat tentang kesaksian wanita (tanpa saksi lelaki) mengikut Mazhab Hanbali dalam kes penyusuan (Hanafiyyah menolak penyaksian wanita dalam kes ini), wiladah (beranak), tangisan bayi ketika lahir atau istihlal, kecacatan pada kemaluan wanita dan habis iddah.[72] Kesimpulan yang dibuat oleh Dr. Mohd Daud Bakar menunjukkan bahawa kesaksian wanita boleh diterimapakai dalam semua kes jika terdapat darurat yakni tidak wujud saksi lelaki, atau saksi wanita itu ramai dan tidak bercanggah keterangan antara mereka berasaskan perumpamaan yang diberikan oleh Ibn Qayyim dan kedudukan yang serupa bagi saksi bukan islam atau kanak-kanak.[73]

English Law juga mengiktiraf agama adalah pra-syarat dalam memberi kesaksian dalam undang-undang mereka kerana perbezaan kepercayaan.[74] Contoh dalam kes Bowmen v Secular Society Limited[75] Lord Summer menjelaskan :
“ours is and always has been a Christian state. The English Family is built on Christian idea, and if the national si not religion there is none. English law may be called Christian law, but we apply many of rules and most of its principles with equally good government, in heathen communities and its sections, even in courts of conscience they are material and not spiritual”

Qarinah dalam jenayah hudud dan qisas

Jenayah bunuh dan mencederakan
Imam Malik dan Ahmad berpendapat selain iqrar, pembuktian bagi kesalahan qisas juga termasuk qarinah. Ini diperjelaskan lagi dengan kata-kata Ibn Qayyim yang menyatakan jika mangsa yang dibunuh dijumpai bersama seseorang yang memegang pisau berlumuran darah, maka tak syak lagi orang itu adalah pembunuhnya.[76]

Jenayah zina dan rogol (zina bi al-jabr)
Hanya Imam Malik sahaja bersetuju dengan qarinah mengandung bagi membuktikan seseorang wanita itu berzina dengan syarat tiada tanda dipaksa pada anggota badannya dan dia adalah orang tempatan. Pendapat Imam Malik ini berasaskan pandangan Hazrat Umar yang menyatakan hukuman rejam dikenakan kepada lelaki dan wanita yang berkahwin jika ia dibuktikan melalui iqrar, saksi, qarinah mengandung bagi yang tidak berkahwin dan jika wanita itu tak mendakwa dirinya dipaksa.[77]

Manakala fuqaha bersepakat qarinah laporan perubatan dalam jenayah zina dan rogol tidak sampai ke tahap hukuman hudud, hanya ta’zir sahaja.

Jenayah Curi
Menurut Imam Ahmad dan diperkuatkan dengan kenyataan Ibn Qayyim, hukuman hudud boleh dikenakan kepada pencuri jika dibuktikan melalui qarinah seperti barangan curi ada dalam simpanannya. Selain dari qarinah itu, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman ta’zir sahaja.[78]

Jenayah minum arak
Qarinah bau arak di mulut atau muntah boleh dijadikan bukti hukuman hudud bagi jenayah minum arak mengikut pendapat Imam Malik dan Ahmad.[79]

Komentar dan Cadangan

Terma yang berbeza dalam beberapa aspek klasikal keterangan Islam barangkali menimbulkan kesukaran untuk difahami fungsi sebenar elemen keterangan dalam Islam. Sebagai contoh iqrar yang mana ada sesetengah pendapat menyamakannya dengan konsep admission, dan ada juga yang mengatakan confession. Perbezaan ini sebenarnya berlaku dalam jenis kes yang berbeza, namun dari sudut prinsipnya iqrar adalah berat kepada  confession kerana ia mengikat pihak yang membuat pengakuan.

Kesesuaian aspek keterangan Islam dengan masyarakat global masa kini adalah pada prinsip keterangan Islam, walaupun amalannya pada hari ini menampakkan kelompongan dalam undang-undang keterangan Islam. Ini terjadi kerana statut keterangan Islam terutamanya di Malaysia ditafsirkan mengikut pandangan mazhab dan kefahaman  masing-masing, dan juga terdapat peruntukan yang tidak jelas dan khusus seperti peruntukan penarikan semula iqrar selepas perintah mahkamah dikeluarkan seperti yang sering berlaku dalam kes pembayaran nafkah tertunggak.[80]

Oleh itu, penyelidikan lanjutan adalah perlu bagi memastikan undang-undang keterangan digubal mengikut keperluan masyarakat semasa. Ini adalah suatu yang perlu kerana undang-undang Islam atau syariah tidak bersifat statik. Melalui penyelidikan lanjutan dengan meneliti beberapa bahan bukti saintifik yang baharu, ia dapat menjustifikasikan betapa syariah itu bersifat dinamik.

Penerimaan sebarang bentuk keterangan baru perlu menepati prinsip yang telah digariskan serta bertepatan dengan maqasid Syariah. Saranan dari al-Maududi juga perlu diambil berat tentang kewajaran melestarikan undang-undang syariah dengan faktor sejarah dan budaya setempat. Oleh itu keghairahan dalam menggubal suatu undang-undang perlu mengikut kerangka asal sistem perundangan itu  supaya tidak menjadi sesuatu yang menyulitkan masyarakat untuk mengikutinya.

Penerimaan bahan-bahan saintifik dan teknologi moden tidak boleh terus diterima. Bahkan sungguhpun secara zahirnya tampak lebih jelas keterangannya, ia tidak seharusnya menggantikan kesemua bentuk keterangan yang telah digariskan dalam Islam contohnya pembuktian dalam kes hudud dan qisas. Ini kerana falsafah pembuktian undang-undang Islam bertujuan untuk mendidik dan bukan menghukum seperti undang-undang Barat.

6.0       Kesimpulan

Masyarakat Islam secara globalnya tidak melihat undang-undang keterangan sivil sebagai satu perkara yang asing dengan undang-undang keterangan Islam. Namun, mereka melihat aspek keterangan sivil dari sudut prinsipnya tidak termasuk dalam pembuktian kes hudud dan qisas. Ini kerana pembuktian kes hudud adalah terlalu ketat (rigid) serta tidak boleh wujud sebarang keraguan langsung, dan ia sudah tentu bercanggah dengan prinsip pembuktian jenayah sivil yang hanya memerlukan beyond reasonable doubt sebagai darjah pembuktiannya.

Sungguhpun fuqaha’ sudah lama menetapkan kaedah pembuktian dalam Islam, ia tidak bermakna bentuk bukti yang baru tidak boleh diterima dalam Islam. Bahkan menurut Sidi Ahmad Abdullah, Islam menerima apa jua kaedah dan prinsip yang dapat menyampaikan kepada matlamat keadilan termasuklah bukti saintifik berasaskan kaedah fiqh ‘sesuatu perkara itu dinilai pada matlamatnya’.[81] Ini menunjukkan aspek keterangan Islam adalah sesuai sepanjang zaman.


[1] Ruzman Md. Noor (2012), Semakan Semula Undang-undang Keterangan Islam, dlm. Siti Shamsiah Md Supi. (pnyt) Korpus Undang-undang Islam Di Malaysia: Semakan & Cabaran. Kuala Lumpur : Penerbit IKIM. h. 81-108.
[2] Abu al-Qasim al-Hassan b. Muhammad al-Raghib al-Asfahaniy (1961),  Al-Mufradat fi Gharib al-Quran. Cetakan Akhir. Mesir : Maktabah Wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy, h. 68.
[3] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (t.th.), Turuq al-Hukmiyyah. Kaherah : Dar al-Madaniy, h. 13. Lihat : Ibn Farhum (1995), Tabsirah al-Hukkam, Jil. 1. Cetakan Pertama. Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 172.
[4] Al-Kasaniy (1998), al-Bada’i al-Sana’i. Jil. 5. Cetakan Ketiga. Beirut : Dar Ihya’ al-Turath, h. 417.  Lihat : G.D. Noke (1987), An Introduction to Evidence. Edisi Keempat. London : Sweet & Maxwell, h. 3.
[5] Siti Zalikhah Md Nor (2006), Beberapa Aspek Dalam Undang-Undnag Keterangan Islam, dlm. Al-Syariah : Undang-Undang Keterangan Islam, Siti Zalikhah Md. Nor et al. Jil. 3. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. h. 2.
[6] Hassan Ab. Rahman (2004), Pemakaian Prinsip-Prinsip Keterangan dalam Peruntukan Statut Keterangan Syariah Malaysia : Satu Kajian Perbandingan Dengan Peruntukan Akta Keterangan 1950;  Tumpuan Khusus Pada Bayyinah, Syahadah dan Qarinah, Thesis. Universiti Malaya
[7] Sayyid Sabiq (t.th.), Fiqh al-Sunnah, j. 3 (t.t.p.),(t.p.). h. 126
[8] Muhammad Zayd al-Anbani (t.th.), Kitab Mabahith al-Murafa’at, (t.t.p.), (t.p.). h. 98
[9] Muhammad al-Khatib al-Sharbini (t.th.), Mughni al-Muhtaj, j. 4, (t.t.p.), (t.p.) h. 426
[10] Wahbah Zuhaily (1989),  Al-Fiqh Islami wa Adillatuhu, j. 6. Damsyik : Dar al-Fikr. h. 17
[11] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1991), al-Turuq al-Hukmiyyah. Beirut : Dar al-Fikr al-Lubnaniy. h. 21
[12] Al-Husairi (t.th.), Ilm al-Qada’, j. 1. (t.t.p.), (t.p.). h. 11
[13] Abdul Muin Abdul Rahman (1999), Witnesses In Islamic Law of Evidence, Selangor : Pelanduk Publictaion, h.8
[14] Ibn Qayyim (1973), I‘lam al-Muwwaqi‘in, 1st ed., j. 1. Beirut: Daru’l-Jayl. h. 90
[15] Ruzman Md. Noor (2007), Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. h. 175.
[16] Mahmud Saedon A. Othman (2003), Undang-undang Keterangan Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. h.41
[17] Ibid.
[18] Al-Khatib Muhammad al-Sharbiniy (1995), Mughni al-Muhtaj. j.4. Beirut : Dar al-Fikr. h. 540.
[19] Al-Kahlaniy, Muhammad bin Ismail (1995), Subul al-Salam. j. 4. Beirut : Dar al-Fikr. h. 126.
[20] Ruzman Md. Noor (2007), Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm. Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. h. 194-197.
[21] Wahbah Zuhaily (1989),  Al-Fiqh Islami wa Adillatuhu, j. 6. Damsyik : Dar al-Fikr. h. 644
[22] Prof. Dr. Anwarullah(1999), Evidence By Expert (Experts‘ Opinion). dlm. Principles of Evidence in Islam. A. S. Noordeen Press : Kuala Lumpur. h. 128
[23] Muhammad Rafa’at Othman (1992), Al-Qada fi Al-Fiqh Al-Islamiy, (t.t.p.), (t.p.). h. 243.
[24] Shofian Ahmad (2006), Sabitan Nasab Melalui Qiyafah. dlm. Al-Syariah. Siti Zalikhah Md. Nor et. al. j. 3. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
[25] Op.cit. h. 255.
[26] Mujazzir al-Mudlajiy merupakan seorang pakar qiyafah dari suku bani Mudlaj pada zaman Rasulullah.
[27] Al-Son’ani (t.th.), Subul al-Salam Sharh Bulugh al-Maram. No. hadith 1331. j. 4. Kaherah : Dar al-Hadith, h. 1492.
[28] Noor Inayah Yaakub dan Jasri Jamal (t.th.), Keterangan Dokumen dan Teknologi, dlm. Zaini Nasohah et al. Syariah dan Undang-Undang : Suatu Perbandingan. (t.t.p.), Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
[29] Ruzman Md. Noor (2007), Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. h. 175.
[30] Paizah Hj. Ismail (2008), Kaedah Pembuktian Dalam Kes Hudud. Jurnal Fiqh No. 5 (2008) : [23]- 46
[31] ‘Abd Rahman al-Jaza’iry (t.th.), Kitab al-Fiqh ‘Ala Mazahib al-‘Arba’ah. j. 5. Mesir : Dar al-Irsyad. h. 271-276
[32] ‘Ala al-Din Abu Bakr Ibn Mas’ud al-Kasaniy (1997), Bada’I al-Sana’I Fi Tartib al-Shara’i . j. 10. Tahqiq ‘Ali Mu’awwad & ‘Adil Ahmad Abd al-Mawjud. Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. h. 375.
[33] Ruzman Md. Noor (2007), Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. h. 175.
[34] Dr. Karim Zaidan (1993), Prinsip-Prinsip Pendakwaan dan Pembuktian dalam Sistem Kehakiman Islam,  Mohd Salleh Bin Haji Ahmad (terj.). Shah Alam : HIZBI. h. 171
[35] Ibid. h. 172-177
[36] Hassan Ab. Rahman (2004), Pemakaian Prinsip-Prinsip Keterangan dalam Peruntukan Statut Keterangan Syariah Malaysia : Satu Kajian Perbandingan Dengan Peruntukan Akta Keterangan 1950;  Tumpuan Khusus Pada Bayyinah, Syahadah dan Qarinah, Thesis. Universiti Malaya
[37] Lihat : Seksyen 60 (3) Akta Keterangan 1950; Seksyen 47 (3) Enakmen Keterangan Syariah Negeri-Negeri.
[38] Ibid. Seksyen 62
[39] Ibid. Seksyen 74
[40] Mahmood Saedon (1990), Undang-Undang Keterangan Islam, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. h.16
[41] Siti Zalikhah Haji Md Nor (2006), Beberapa Aspek dalam Undang-Undang Keterangan Islam, dlm al-Syariah : Undang-Undang Keterangan Islam, j. 3, Siti Zalikhah Haji Md Nor et. al. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. h. 4.
[42] Al-Kasaniy (1998), al-Bada’i al-Sana’I, j. 5, cet. Ketiga, Beirut : Dar Ihya’ al-Turath. h. 337.
[43] (1991) JH VII/II 152
[44] Ruzman Md. Noor (2007). Pembuktian Dalam Kes Harta Sepencarian di Mahkamah Syariah di Malaysia. Jurnal Syariah (15:1) h. 39
[45] Black Law Dictionary, h. 519
[46] Majallat al-Ahkam al-Adliyyah, Per. 1689
[47] Prof. Dr. Anwarullah(1999), Evidence By Expert (Experts‘ Opinion), dlm. Principles of Evidence in Islam. A. S. Noordeen Press : Kuala Lumpur. h. 128
[48] Dr. Karim Zaidan (1993), Prinsip-Prinsip Pendakwaan dan Pembuktian dalam Sistem Kehakiman Islam, Mohd Salleh Bin Haji Ahmad (terj.). Shah Alam : HIZBI. h. 162
[49] Shofian Ahmad (2006), Sabitan Nasab Melalui Qiyafah, dlm. Al-Syariah : Undang-Undang Keterangan Islam, j. 3, Siti Zalikhah Haji Md Nor et. al. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. h. 97.
[50] Ibid. hlm. 107
[51] Dr. Karim Zaidan (1993), Prinsip-Prinsip Pendakwaan dan Pembuktian dalam Sistem Kehakiman Islam, Mohd Salleh Bin Haji Ahmad (terj.). Shah Alam : HIZBI. hlm. 165
[52] Siti Zalikhah (2008). Beberapa aspek mengenai hubungan biologi antara anak dan bapa tanpa nikah. JH 25 Bhg. 2. h. 77.
[53] Zulfakar Ramlee. Kertas Kerja yang bertajuk “ Pembuktian Saintifik, Keterangan DNA, Mikrofilem dan Audiovisual: Antara kerelevanannya dan keboleh terimaannya” yang dibentangkan dalam Persidangan Pegawai Syariah Kali ke-5 DI Hotel Grand Bluewave, Shah Alam pada 9 September 2003.
[54] Muhammad Rawas Qalahjiy (1998), Mu’jam Lughat al-Fuqaha (Arb-English) cet. kedua. Beirut : Dar al-Nafais, h. 373
[55] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1991). Al-Turuq al-Hukmiyyah. Beirut : Dar al-Fikr al-Lubnaniy. h. 204.
[56] Structure of Deoxyribo Necleia Acid [1953] 171 Nature 737
[57] Nukleotida terdiri daripada satu kumpulan fostat, satu kumpulan gula pentosa (yang mengandungi karbon) dan satu bes bernitrogen
[58] Akhzailina Md Akhir (2000). “Keterangan DNA : Kepentingan , Keperluan dan Kaedah Pemakaian di Malaysia (Latihan Ilmiah, Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya)
[59] Sheikh Nizar al-Shu’aybi adalah salah seorang hakim di Mahkamah Bandar Shaqiq, Qatar.
[60] Islam Today, http://en.islamtoday.net/artshow-387-3336.htm, 22 November 2012.
[61] M. Salama (t.th.), General Principle of Criminal Evidence, dlm. The Islamic Criminal Justice, (t.t.p.), (t.p.). h.118
[62] Mustafa (t.th.), Prinsip Undang-Undang Keterangan Islam, (t.t.p.), (t.p.). h. 78
[63] Ibn Qudamah (t.th.), al-Mughni, j. 9, (t.t.p.), (t.p.). h. 149
[64] Al-Shirazi (t.th.), al-Muhadhdhab, j. 2, (t.t.p.), (t.p.). h. 425
[65] Mahmasani (t.th.), Falsafat Tashri’ al-Islami, (t.t.p.),(t.p.). h. 307
[66] Karim Zaydan (t.th.), Nizam al-Qada’, (t.t.p.),(t.p.). h. 188
[67] Abu al-Ayn (t.th.), al-Qada’ wa al-Ithbat, (t.t.p.), (t.p.). h. 230
[68] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1991). Al-Turuq al-Hukmiyyah. Beirut : Dar al-Fikr al-Lubnaniy. h. 141
[69] Sarkar’s, Law of Evidence, Edisi ke-13, (t.t.p.), (t.p.). h. 13027
[70] Abdul Hayei b. Abdul Sukor (2002), Keliru tentang hukum wanita sebagai saksi’, dlm. Ruangan 1001 Kemusykilan : Mingguan Malaysia.
[71] Wan Nor Ainon Bt Wan Abdullah (2004), Konsep Kesaksian Wanita Dalam Undang-Undang Keterangan : Perbandingan Antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di Kota Bharu, Kelantan, Dissertation. Universiti Malaya.
[72] Dr. Karim Zaidan (1993), Prinsip-Prinsip Pendakwaan dan Pembuktian dalam Sistem Kehakiman Islam,  Mohd Salleh Bin Haji Ahmad (terj.). Shah Alam : HIZBI. h. 116
[73] Dr. Mohd Daud Bakar (1997), Kedudukan Wanita Dalam Undang-Undang, dlm. Al-Ahkam : Penghakiman dan Kepeguaman, Ahmad Ibrahim et. al. j.. 5. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. h. 162 - 165
[74] M.N. Howard (t.th.), Phipson on Evidence, 14th Ed. Phara, 9-06
[75] (1917) Appeal Case 406
[76] Prof. Dr. Anwarullah(1999), Circumstantial Evidence in Murder and Hurt. dlm. Principles of Evidence in Islam. A. S. Noordeen Press : Kuala Lumpur. h. 112
[77] Ibid. h. 117
[78] Ibid. h. 119
[79] Ibn Taimiyyah (t.th.), al-Siyasah al-Syar’iyyah, (t.t.p.), (t.p.). h. 158
[80] Mohd Fuad Jaapar (1998), Undang-Undang Keterangan dan Prosedur di Mahkamah Syariah Dari Aspek Amalan, dlm. Undang-Undang Islam di Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Universiti Malaya. h. 179-183
[81] Sidi Ahmad Abdullah (1998), Undang-Undang Keterangan dan Prosedur di Mahkamah Syariah Dari Aspek Hukum, dlm. Undang-Undang Islam di Mahkamah-Mahkamah Syariah di Malaysia, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Universiti Malaya. h. 165

1 comment:

  1. salam. saya ada assignment tajuk "bagaimanakah keterangan pendapat boleh diterima di mahkamah sivil?" harap saudara boleh membantu saya menjawab isu ini. sekian terima kasih. :)

    ReplyDelete