Monday, December 10, 2012

Pembuktian Sihir Dalam Kes Mal (sivil) dan Jenayah


(Petikan Bab 4 Latihan Ilmiah 'Sihir : Pembuktian Di Mahkamah')

4.1 PENGENALAN

Penggubalan undang-undang berkaitan sihir sudah semestinya suatu keperluan pada masa kini. Namun, sebelum undang-undang itu digubal, ia perlu kepada beberapa elemen penting bagi menjadikan undang-undang tersebut dapat dilaksanakan dan menepati prinsip penggubalan undang-undang iaitu memberi keadilan dan menjaga hak orang yang tertakluk padanya. Elemen seperti keterangan dan pembuktian adalah penting dalam menjaga hak-hak individu supaya individu yang tidak bersalah tidaklah sewenang-wenangnya dituduh di bawah kesalahan sihir.

Sejarah telah membuktikan bahawa pemansuhan undang-undang berkaitan sihir adalah disebabkan kezaliman dan diskriminasi yang berlaku terhadap golongan wanita dan kanak-kanak. Ini berlaku kerana pemahaman tentang keterangan dan pembuktian dalam sesuatu kes adalah berada pada tahap yang sangat lemah. Sebagai contoh, penggunaan spectral evidence dalam Witchcraft Act 1736 di Eropah adalah sangat mengelirukan sehingga menyebabkan ramai orang yang tidak bersalah dituduh sebagai ahli sihir.[1] Maka pemerhatian dan perbincangan terhadap elemen keterangan dan pembuktian adalah sama pentingnya dengan penggubalan undang-undang tersebut.

Sebagaimana yang telah diperjelaskan dalam bab sebelumnya, pembuktian merupakan satu proses untuk membuktikan sesuatu yang telah dibawa untuk perhatian Mahkamah. Dalam erti kata yang lain, pembuktian adalah merujuk kepada kepercayaan Mahkamah terhadap sesuatu fakta dalam kes yang dibicarakan di Mahkamah.[2]

Dalam bab ini, penulis akan membincangkan tentang pembuktian sihir dalam kes mal atau sivil dan kes jenayah. Pembuktian ini termasuklah bentuk-bentuk keterangan yang boleh digunakan dalam kes yang berkaitan dengan sihir ataupun kes yang faktanya berkaitan dengan sihir. Bahkan, bab ini akan turut membincangkan tentang darjah pembuktian bagi jenis kes yang dibicarakan di Mahkamah serta perbincangan mengenai bentuk keterangan yang boleh dikemukakan di Mahkamah.

4.1 Elemen Pembuktian

Pembuktian adalah kepercayaan Mahkamah terhadap suatu fakta yang dikemukakan. Peruntukan seksyen 3 (2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997  telah menyatakan:-

“Dalam Akta ini –
(a) suatu fakta dikatakan "terbukti sebaliknya" apabila, setelah menimbangkan perkara-perkara di hadapannya, Mahkamah sama ada mempercayai bahawa fakta itu tidak wujud atau berpendapat ketakwujudan fakta itu adalah sebegitu mungkin sehingga seseorang yang berhemat patut, dalam keadaan hal tertentu, bertindak atas anggapan bahawa fakta itu tidak wujud;

(b) sesuatu fakta dikatakan "tidak terbukti" apabila fakta itu tidak "terbukti" atau tidak "terbukti sebaliknya" mengikut Akta ini;

(c) sesuatu fakta dikatakan "terbukti" apabila, setelah menimbangkan perkara-perkara di hadapannya, Mahkamah sama ada mempercayai bahawa fakta itu wujud atau berpendapat bahawa kewujudan fakta itu adalah sebegitu mungkin sehingga seseorang yang berhemat patut, dalam keadaan hal tertentu, bertindak atas anggapan bahawa fakta itu wujud.”

Peruntukan tersebut secara jelas menunjukkan kesan kepercayaan Mahkamah terhadap satu fakta yang dikemukakan di Mahkamah. Jika Mahkamah percaya fakta itu wujud, maka fakta tersebut telah dibuktikan (proved), jika Mahkamah tidak menerimanya sebagai keterangan, maka fakta itu dikatakan dibuktikan  sebaliknya (disproved). Jika sesuatu fakta itu tidak dapat dibuktikan oleh mana-mana pihak, maka ia disebut sebagai tidak dibuktikan (not proved).[3] Pembuktian ini termasuklah pihak yang menanggung beban bukti, perpindahan beban bukti dan darjah pembuktian.

4.1.1 Beban Bukti

Menurut Siti Zalikhah Haji Md. Nor, beban bukti ialah tanggungjawab yang terletak pada pihak yang berkaitan dengan sesuatu fakta yang menjadi isu yang mesti ditunaikan jika pihak tersebut ingin memenangi isu yang dipertikaikan.[4] Secara umumnya beban bukti ini terbahagi kepada dua iaitu beban dari sudut undang-undang dan beban dari sudut  mengemukakan keterangan.

Dalam kes mal (sivil), beban bukti adalah terletak kepada orang yang membuat tuntutan. Ini selaras dengan prinsip :
البينة على المدعي واليمين على من انكر
Prinsip ini bermaksud pihak yang menuntut bertanggungjawab untuk mengemukakan bukti atau keterangan (bayyinah) dan pihak yang kena tuntut dikehendaki bersumpah untuk menafikan tuntutan tersebut.[5] Manakala dalam kes Aishah Abd. Rauf  lwn. Wan Mohd Yusof berkaitan permohonan poligami, Jawatankuasa Rayuan telah memutuskan bahawa beban bukti kemampuan berpoligami terletak atas pemohon (si suami).[6] Sumpah penafian tuntutan yang dilakukan oleh pihak yang kena tuntut adalah merupakan contoh perpindahan beban bukti dalam kes mal.
Manakala dalam kes jenayah, beban bukti terletak atas bahu pihak Pendakwa. Pendakwa perlu mengemukakan keterangan kepada pihak Mahkamah sehingga Mahkamah menerima fakta yang dikemukakan mencapai tahap kes prima facie. Selepas tahap prima facie, maka pihak tertuduh akan dikehendaki untuk membela diri. Prosedur pembelaan ini menyaksikan kewujudan perpindahan beban bukti daripada Pendakwa kepada tertuduh untuk menafikan fakta yang telah dikemukakan oleh Pendakwa sebelum ini. Jika fakta yang dikemukakan oleh Pendakwa tidak mencapai tahap prima facie, maka tertuduh akan dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan tersebut. 
4.1.2 Darjah Pembuktian

Darjah pembuktian bermaksud tahap atau piawai yang berkaitan dengan kepercayaan Mahkamah 
Syariah sama ada Mahkamah Syariah sendiri percaya kewujudan atau ketidakwujudan sesuatu fakta atau Mahkamah Syariah berpendapat kewujudan atau ketidakwujudan sesuatu fakta sebegitu mungkin sehingga orang yang berhemah akan bertindak berdasarkan kepada anggapan bahawa perkara yang dipertikaikan itu wujud atau tidak wujud. Darjah pembuktian boleh diklasifikasikan seperti berikut :- [7]


(a) Yakin : 100 %


(b) Zan al-ghalib (besar kemungkinan/ berat sangka / tanpa keraguan yang munasabah): 90-99 %


(c) Zan (pertimbangan kemungkinan) : 51 – 89 %


(d) Syak : 50 %


(e) Waham : bawah 49 %

Darjah pembuktian dalam kes mal adalah cukup sekadar pada tahap zan atau pertimbangan kemungkinan. Manakala dalam kes jenayah, darjah pembuktiannya mestilah berada pada tahap ghalabah al-zan. Ini kerana prinsip pembuktian dalam kes jenayah adalah melepasi tahap keraguan munasabah (beyond reasonable doubt).
4.2 Pembuktian Sihir Dalam Kes Mal (Sivil)
Gangguan sihir ini bukan hanya boleh memberi implikasi jenayah, bahkan turut memberi kesan dalam aspek hubungan kekeluargaan mahupun urusan kehartaan. Gangguan dalam hubungan rumahtangga sebagai misalannya, suami atau isteri akan merasakan muka pasangannya hodoh dan sering berlaku pertengkaran.[8] Ini merupakan antara simptom-simptom gangguan sihir. Maka, jika pihak yang bertikai membawa isu gangguan sihir dalam mengukuhkan tuntutannya atau menafikan tuntutan pihak yang menuntut, beban bukti adalah ditanggung padanya. Dalam erti kata lain,pihak yang mendakwa gangguan itu wujud perlu mengemukakan bukti dan keterangan kepada mahkamah.
Pembuktian dalam kes mal tidaklah seberat pembuktian dalam kes jenayah. Ini kerana dalam kes mal, keterangan berbentuk bayyinah sudah memadai untuk diterima oleh Mahkamah Syariah. Ini dapat dilihat dalam pembuktian kes Abdul Hanif[9] dan kes Shaheila Abdul Majid lwn Roslan Aziz.[10] Apatah lagi sihir ini memberi implikasi fizikal dan mental kepada mangsa sihir. Keterangan dari mangsa dan orang yang menyaksikan sendiri kesan gangguan itu boleh dikemukakan kepada mahkamah. Sungguhpun keterangan saksi tersebut mempunyai sedikit tohmah atas dasar kekeluargaan atau pertalian darah. Ini kerana tohmah tersebut tidak menjejaskan terus penerimaan keterangan saksi dan ia masih berada pada tahap bayyinah.
Atas dasar peribadi, dendam, perasaan cemburu dan iri hati dengan seseorang, sihir seperti sihir pembenci atau sihir pemisah sering digunakan bagi tujuan memisahkan atau memecah-belah hubungan keluarga.[11] Sihir-sihir tersebut boleh menyebabkan mangsa yang terkena sihir tersebut mempunyai sikap dan rasa sering marah, timbul prasangka terhadap kepercayaan pada pasangan, rasa ingin bercerai dan seumpamanya.[12] Harus diingat bahawa sihir ini tidak boleh hanya melafazkan dengan mulut semata-mata tanpa bantuan jin dan beberapa peralatan sebagai medium kebergantungan kepada jin atau khadam sihir. Menurut Dr. Mahyuddin Ismail, peralatan atau bahan-bahan yang disediakan ini adalah simbolik kepada gambaran kesan yang ingin dikenakan terhadap mangsa.[13]
Kebiasaan bahan yang digunakan pengamal sihir untuk sihir pembenci atau pemisah adalah seperti nama mangsa dan ibunya, rambut mangsa, gambar, kuku atau penggunaan haiwan yang mencakar seperti tulang kucing atau anjing. Sebagai contoh tulang-tulang tersebut akan dipuja terlebih dahulu, kemudian baru ditanam dibawah rumah, atau diletakkan atas bumbung rumah atau di perkarangan rumah. Dalam hal ini, jika mangsa menjumpai barangan berkaitan dengan pemujaan sihir, maka barangan tersebut boleh dikemukakan kepada mahkamah sebagai bukti yang bersifat qarinah terhadap kewujudan gangguan sihir.
Jika diteliti dengan lebih mendalam tentang proses pemujaan sihir, para pengamalnya dikehendaki untuk mengambil benda yang mempunyai perkaitan dengan identiti mangsa seperti rambut, darah, kuku, pakaian dalam, baju dan seumpamanya.[14] Ini membawa kita kepada satu bidang saintifik yang sering digunakan dalam mengenal pasti identity mangsa iaitu kaedah pemprofilan DNA. Jika barangan seperti ini diperoleh dari individu yang mendapatkan khidmat ahli sihir mahupun berada dalam milikan ahli sihir itu sendiri, maka ujian DNA boleh mengenalpasti sama ada benda tersebut milik mangsa atau sebaliknya.
Situasi yang dinukilkan dalam buku ‘Ahli Sihir Ke Tali Gantung’ boleh dijadikan rujukan. Isteri pertama kepada suami diubati oleh seorang bomoh akibat masalah rumahtangga. Antara cara rawatannya adalah menjampi air mineral yang mempunyai jari kaki manis kiri dan kanan isteri pertama tersebut bersama dengan tali kerbau yang akan diberikan kepada suaminya untuk diminum.[15] Sudah tentu rawatan bomoh tersebut mempunyai elemen sihir yang bertujuan menundukkan suami mengikut arahan isteri seperti kerbau dicucuk hidungnya. Ujian DNA boleh dijalankan ke atas kuku tersebut. Namun bagi mengelakkan supaya orang yang tidak bersalah dituduh menyebabkan berlakunya gangguan sihir, maka keterangan pakar perlu dikemukakan. Pakar yang dimaksudkan adalah pakar yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam kes-kes sihir. Ini bertujuan untuk mengenalpasti sama ada dakwaan dan keterangan yang dikemukakan di Mahkamah mempunyai kesan yang selari terhadap mangsa sehingga menyebabkan pertikaian dibawa ke perhatian mahkamah. Keperluan keterangan pakar bagi pembuktian sihir dalam kes mal telah diperjelaskan sendiri  dalam keputusan rayuan kes Mustafa Batcha.[16]
Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, kes mal tidak memerlukan keterangan yang sangat kukuh, sebaliknya cukup sekadar keterangan yang dikemukakan memberatkan dakwaan tersebut berbanding sebaliknya. Ini kerana darjah pembuktian dalam kes mal adalah pada pada tahap al-zan iaitu melepasi tahap pertimbangan munasabah.
4.3 Pembuktian Sihir Dalam Kes Jenayah
Berbeza dengan kes mal, sihir boleh dijadikan sebagai satu kesalahan dari sudut jenayah. Ini kerana terdapat kegiatan sihir yang mempunyai hubungkait dengan kesalahan yang telah diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan. Antaranya seperti peruntukan kesalahan yang boleh menyebabkan kematian, kecederaan, kemusnahan harta benda, fitnah dan seumpamanya. Emmet V. Mittlebeeler pernah mengungkapkan bahawa “sekiranya kita semua menerima teori bahawa undang-undang jenayah diasaskan atas dasar bahawa tindakan perlu diambil terhadap pelaku salah, maka ilmu sihir adalah jenayah paling utama untuk diperangi.”[17]
Dalam membincangkan hal berkenaan kesalahan jenayah, maka sudah pasti perbincangan mengenai elemen kesalahan jenayah itu sendiri perlu dikupas. Elemen kesalahan jenayah yang dimaksudkan adalah actus reus dan mens rea. Elemen ini berasaskan maksim perundangan yang juga prinsip bagi undang-undang jenyah iaitu prinsip actus non facit reum nisi mens sits rea.[18] Prinsip ini menjelaskan tentang keadaan individu itu tidak disabitkan dengan kesalahan jenayah melainkan perbuatan yang dilakukan adalah dalam keadaan fikirannya waras dan sedar. Kebanyakan kesalahan jenayah memerlukan penglibatan actus reus dan mens rea kecuali kesalahan yang melibatkan strict liability yang hanya memerlukan elemen actus reus.[19]
Actus reus adalah perbuatan yang mewujudkan liabiliti jenayah. Sungguhpun begitu, actus reus yang diterima dalam undang-undang jenayah bukan hanya dilihat dari sudut perbuatannya semata-mata, sebaliknya juga melihat perbuatan itu memberi imlplikasi yang relevan dengan perbuatan itu sendiri.[20] Sebagai contoh perbuatan menembak dengan menggunakan pistol terhadap seseorang belum dikira sebagai actus reus  bagi kesalahan membunuh, sebaliknya jika peluru hasil tembakan dari pistol itu menembusi anggota badan dan organ dalaman sehingga menyebabkan kematian, barulah ia dianggap sebagai actus reus.
Bagi mengenal pasti elemen actus reus dalam kesalahan jenayah sihir, maka penelitian perlu dibuat terhadap trend atau cara amalan sihir itu dilakukan. Terdapat beberapa proses yang perlu dijalankan antaranya adalah :

(1)· Pemujaan dilakukan dengan bahan-bahan tertentu. Ini menunjukkan penglibatan makhluk halus dalam amalan sihir adalah penting untuk memastikan sihir itu dikenakan kepada mangsa.

(2)· Membacakan mentera, atau memberi isyarat mahupun dengan menggunakan perbuatan yang mempunyai makna dan simbolik tertentu terhadap benda peribadi kepunyaan mangsa seperti rambut, kuku, darah, pakaian dan seumpamanya. Benda itu dipuja, dibakar, disimpul, dilaga-lagakan atau seumpamanya dengan tujuan memberi isyarat terhadap kesan yang diingini terhadap mangsa.

(3)· Terdapat juga bahan-bahan sampingan yang lain seperti jarum, kaca dan seumpamanya. Jika jarum dicucuk kepada patung yang disimpul dengan rambut mangsa, maka ia memberikan gambaran kepada khadam sihir untuk melakukan kecederaan kepada mangsa sama seperti patung yang dicucuk jarum tersebut.[21]

Semua perbuatan tersebut boleh dijadikan sebagai sebahagian siri perbuatan yang membentuk actus reus bagi kesalahan jenayah sebagaimana yang dinyatakan dalam penghakiman kes King Emperor v Nehal Mahto :
“ When an accused person commits two or more acts, closely, following upon and intimately connected with each other, they cannot be separated and assigned, to one to one intention and the other to another but both must ascribed to the original intention which prompted the commission of those acts and without which neither could have been done.”[22]
Manakala mens rea pula adalah niat jahat. Mens rea adalah elemen yang bersifat mental yang boleh diistilahkan dalam bentuk niat mahupun kecuaian yang menyebabkan perbuatan jenayah atau kesan perbuatan jenayah itu berlaku.[23] Ujian bagi mengenal pasti mens rea  adalah dilihat dari sudut perbuatan atau siri perbuatan pelaku jenayah itu sendiri. Ini adalah bertepatan dengan penghakiman dalam kes Tham Kai Yau yang menyatakan “intention is a matter of inference”.[24]
Justeru, pemerhatian mens rea dalam kesalahan jenayah sihir perlu diambil kira terhadap kaedah penyihiran dan peralatan yang digunakan.[25] Maka pembuktian mens rea berkaitan sihir di Mahkamah perlu menepati pra-syarat berikut iaitu sihir tersebut dilakukan atas kemahuan sendiri dan pihak yang mengenakan sihir ke atas mengsa mengetahui kesan perbuatannya itu.
Ramai beranggapan bahawa jenayah sihir ini berbeza dengan jenayah yang lain. Hakikatnya jurang perbezaannya tidaklah begitu ketara kerana natijah perbuatan jenayah itu adalah sama. Sebagai contoh, seorang mangsa ditembak mati oleh rakannya dengan menggunakan pistol dan didapati motif pembunuhan itu adalah kerana mangsa mungkir janji. Kesalahan itu tertakluk dibawah peruntukan seksyen 302 Kanun Keseksaan iatu membunuh dengan niat. Sama situasinya jika seorang rakan mengenakan sihir jenis tuju-tuju iaitu satu jenis sihir yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal (juga boleh membawa maut) kepada mangsa dengan motif yang sama iaitu mungkir janji. Natijah atau kesannya, kedua-dua mangsa meninggal dunia dan rakan yang melakukan jenayah tersebut mempunyai niat untuk membunuh.
Jika diteliti secara kasar, mungkin terdapat perbezaan. Perbezaan pertama adalah punca kematian, seterusnya jika proses autopsi atau bedah siasat dijalankan, belum tentu mangsa yang disihir boleh diketahui punca kematiannya berbanding mangsa yang ditembak. Bahkan perbezaan paling ketara adalah keadaan fizikal mangsa. Namun, jika peneiltian dibuat secara mendalam, sudah pasti terdapat persamaan yang lebih banyak berbanding perbezaan. Dr. Mahyuddin Ismail membahagikan persamaan ini kepada empat perkara yang perlu diberi perhatian iaitu :[26]

1. Alatan yang digunakan

2. Pelaku Jenayah

3. Proses Perlaksanaan Jenayah

4. Kesan
4.3.1 Alatan yang digunakan dalam Jenayah Biasa dan Sihir
Sebagai contoh dalam kesalahan seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat dengan menggunakan peralatan menembak seperti pistol. Mengacu pistol tidak dianggap kesalahan bagi peruntukan ini sehinggalah dilepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa. Jika ia tidak menepati sasaran, maka ia masih belum dikategorikan sebagai kesalahan membunuh kecuali jika peluru yang dilepaskan dari pistol itu menembusi organ dalaman mangsa sehingga terpancutnya darah yang memenuhi paru-paru mangsa dan menyebabkan komplikasi kepada fungsi jantung untuk mengawal tekanan darah.
Maka jika dipadankan dengan amalan sihir yang memerlukan penglibatan makhluk halus dan perlatan atau bahan sebagai simbolik kepada khadam sihir untuk mengenakan gangguan fizikal kepada mangsa, ia tidak jauh bezanya. Makhluk halus atau khadam sihir adalah senjata sama seperti kedudukan peluru yang menembusi organ dalaman. Peluru dan mahkluk halus ini tidak akan boleh membawa kematian dan kemudaratan tanpa digunakan bersama medium peralatan yang sesuai. Dalam hal ini, pistol digunakan untuk melepaskan peluru yang berupaya menembusi organ dalaman manusia, begitu juga dengan makhluk halus yang mana memerlukan proses pemujaan dan ikatan perjanjian dengannya untuk makhluk halus tersebut menggunakan keistimewaannya bagi melaksanakan suruhan si pemuja tersebut.[27]
Keistimewaan ini diungkapkan dalam firman Allah :
Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman  apa yang dikehendaki daripada beberapa bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Selepas itu Kami perintahkan), “Beramallah kamu wahai keluarga Daud supaya bersyukur!” Sememangnya sedikit sekali antara hamba-hambaku yang bersyukur.”[28]
Keistimewaan yang lain yang ada pada mahkluk halus ini adalah seperti kemampuan menjelma dalam segala bentuk, boleh meresapi ke saluran darah manusia, kemampuan bergerak dalam masa yang singkat walupuan pada jarak yang jauh, kemampuan mendapatkan khazanah bumi dan melakukan pembinaan bangunan besar. Resapan dalam badan mangsa oleh khadam sihir adalah bertujuan untuk menguasai otak manusia.[29] Ini kerana otak manusia mengawal kesemua pergerakan dan perbuatan yang ada pada manusia itu sendiri. Ini juga bertujuan memudahkan mangsa mengalami gangguan sebagaimana yang dikehendaki oleh penyihir yang digambarkan melalui bahan yang digunakan seperti jarum yang dicucuk pada dada anak patung.
Sungguhpun jenis dan bentuk alatan yang digunakan dalam sihir berbeza dengan senjata yang digunakan dalam jenayah biasa, namun ia berkongsi persamaan tujuan, ciri dan kesan. Malah, peralatan yang digunakan itu boleh digunakan untuk menjejaki penjenayah yang menggunakannya.[30] Contohnya pakar forensik dengan menggunakan kaedah Compositional Analysis of Bullet Lead (CABL) dengan menganalisis peluru yang diambil dari tubuh mangsa dapat mengetahui jenis pistol bersama dengan pemiliknya. Sama seperti jenayah siber, yang mana dapat diketahui lokasi penjenayah siber melalui kaedah Internet Protocol Adress. Dalam erti kata lain, ia memerlukan pakar dalam bidang tersebut untuk mengenalpasti siapa, mengapa dan bagaimana jenayah itu dilakukan. Sama juga kaedahnya dalam menjejaki penjenayah sihir.
4.3.2 Pelaku Jenayah Sihir
Dalam beberapa keadaan jenayah biasa, kebiasaannya penjenayah akan berada di lokasi untuk memastikan jenayah yang dilakukannya adalah mencapai tujuan dan motif. Namun, bagi sihir pula adalah sebaliknya. Ia tidak memerlukan pelaku atau penyihir untuk berada berdekatan dengan mangsa, bahkan boleh berada jauh beribu batu dari mangsa. Ini kerana sihir menggunakan perantaraan mahkluk halus yang mempunyai keistimewaan sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini.
Individu yang mengenakan sihir ke atas individu lain kebiasaannya mengetahui atau mengamalkan ilmu sihir itu sendiri. Ada juga invdividu yang mengupah khidmat ahli sihir atau pawang mahupun bomoh untuk memuaskan dendam kesumat ke atas pihak yang dibencinya.  Jika dilihat dalam peruntukan seksyen 34 Kanun Keseksaan, ada menyatakan, “Apabila perbuatan jenayah dilakukan oleh beberapa orang bagi mencapai niat bersama mereka semuanya, setiap daripada mereka itu adalah bertanggungjawab atas perbuatan itu sama seperti seolah-olah perbuatan itu dilakukan olehnya seorang.”
Dalam erti kata lain, individu yang mendapatkan khidmat bomoh untuk mengenakan sihir kepada mangsa juga mempunyai liabiliti jenayah yang sama dengan bomoh tersebut. Dr. Mahayuddin Ismail menggambarkan bomoh yakni individu yang memberi khidmat sihir adalah sama seperti pembunuh upahan.[31] Bahkan seksyen 34 Kanun Keseksaan ini juga digunakan dalam penghakiman kes Md. Masud Rana Md. Mofiz.[32]
4.3.3 Proses Perlaksanaan Jenayah Sihir
Proses perlaksanaan jenayah ini sebenarnya mempunyai empat peringkat. Peringkat pertama adalah niat. Niat adalah sesuatu yang bersifat subjektif, tidak boleh diukur dengan mata kasar namun boleh dinilai melalui perbuatannya. Niat jahat tanpa disusuli dengan perbuatan belum dianggap sebagai satu jenayah.[33] Niat juga boleh dilihat dalam motif bagi suatu perbuatan jenayah seperti cemburu, dengki, dendam, amarah, hasutan, desakan ekonomi seperti diupah atau sekadar mencuba untuk memenuhi tuntutan amalan kebatinan.[34]
Peringkat kedua adalah persedian atau persiapan. Persediaan ini termasuklah persiapan bahan dan kelengkapan pemujaan makhluk halus atau khadam sihir. Namun, bagi pelanggan khidmat ahli sihir, kebiasaannya ahli sihir akan menyuruh pelanggan tersebut untuk membawakan bahan-bahan kotor seperti darah anak dara, organ dalaman kanak-kanak bawah umur dan kepala manusia.[35]
Peringkat ketiga adalah percubaan melakukan sihir. Ini termasuklah pemujaan yang dilakukan namun tidak mengenai sasaran atau terhalang akibat kesilapan dari sudut bacaan pemujaan, mahupun pegangan agama yang kuat oleh mangsa.
Manakala peringkat keempat adalah perlakuan jenayah yang lengkap. Liabiliti jenayah wujud kepada ahli sihir mahupun yang menggunakan khidmat perantara yang lain untuk mengenakan sihir jika sihir tersebut menyebabkan hak-hak individu yang dijamin dalam undang-undang sudah terhakis.[36]
4.3.4 Kesan Sihir
Kesan atau impilkasi sihir sama seperti jenayah biasa. Bahkan Kanun Keseksaan juga menyenaraikan kesalahan yang membawa kesan yang serupa dengan gangguan sihir seperti kematian, kecedaraan, hilang uapaya atau illat berpanjangan mahupun sementara, cacat penglihatan dan pendengaran, patah dan seumpamanya. Adakalanya kesan sihir ini melampaui kesan jenayah biasa. Bahkan punca bagi kesan perbuatan sihir ini lebih sukar dikenal pasti berbanding jenayah biasa. Oleh itu, seharusnya pembuktian sihir ini adalah sama seperti pembuktian kesalahan jenayah biasa dan perlu melepasi tahap keraguan munasbah (beyond reasonable doubt).
4.4 Bentuk Keterangan Dalam Pembuktian Sihir
Berdasarkan kepada penjelasan secara umum berkaitan pembuktian sihir dalam kes mal dan jenayah sebelum ini, maka dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa bentuk keterangan yang boleh dikemukakan dalam pembuktian sihir iaitu :
1) Pengakuan (Iqrar)
Iqrar merupakan salah satu bentuk keterangan yang disepakati oleh para ulama’.[37] Iqrar adalah suatu bentuk pengakuan bagi membuktikan kewujudan hak orang lain ke atas orang yang berikrar.[38] Peruntukan berkaitan dengan iqrar ada termaktub dalam Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 dari seksyen 17 hingga 19. Iqrar ini juga mempunyai maksud dan fungsi yang sama dengan konsep admission atau pengakuan menurut Akta Keterangan 1950.
Secara umumnya, setiap pengakuan yang dibuat adalah mengikat orang yang membuat pengakuan tersebut. Ini kerana pengakuan tidaklah boleh dilakukan dengan tujuan untuk menentang orang lain. Bahkan, suatu pengakuan mestilah bebas dari sebarang unsur yang menolak elemen kesukarelaan seperti ugutan, dorongan atau perjanjian.[39] Ini adalah selaras dengan peruntukan seksyen 24 Akta Keterangan 1950. Dalam kes Dato’ Mokhtar bin Hashim & Anor v Public Prosecutor pula menambah satu lagi elemen yang tidak boleh wujud dalam pengakuan iaiatu elemen penindasan (oppression).[40] Dalam erti kata yang lain, iqrar adalah satu bentuk keterangan yang tidak perlu dibuktikan.[41]
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Sahl bin Saad bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W dan menyatakan bahawa dia telah berzina dengan seorang wanita. Rasulullah S.A.W menghantar utusan kepada wanita tersebut untuk bertanya kepadanya tentang apa-apa yang diiqrarkan oleh lelaki itu. Wanita tersebut menafikannya, maka Rasulullah S.A.W tidak mengenakan hukuman keatas wanita yang didakwanya melakukan bersama. Hadis ini menunjukkan iqrar itu hanya memberi kesan ke atas orang yang melakukan iqrar sahaja.[42]
Dalam pembuktian kes sihir, bentuk keterangan seperti pengakuan dalam kes mal (sivil) atau pengakuan salah dalam kes jenayah oleh pelaku sama ada yang mendapatkan khidmat ahli sihir mahupun pengamal sihir itu sendiri boleh mewujudkan liabiliti dari sudut undang-undang ke atas pengakuan atau pengakuan salahnya sahaja tanpa mengambil kira keterangan yang lain.[43] Harus diingat bahawa pengakuan berbeza dengan pengakuan salah, yang mana pengakuan boleh dibuat dalam kes mal (sivil) dan kes jenayah. Manakala pengakuan salah hanya boleh dibuat oleh tertuduh dalam kes jenayah sahaja.
Sebelum suatu pengakuan salah itu diterima, Mahkamah akan memberi amaran tentang implikasi terhadap tertuduh akibat pengakuan salah yang dibuat olehnya.[44] Sungguhpun pengakuan salah itu dibuat dalam kes jenayah, namun Mahkamah masih mempunyai kewajipan untuk mencatatkan fakta-fakta berkaitan untuk tujuan penetapan hukuman.[45] Pengakuan mestilah dibuat dalam Mahkamah, jika dibuat di luar Mahkamah maka ia tidak mempunyai kesan dari sudut undang-undang.
Jika diteliti penghakiman dalam kes Pendakwa Syarie lwn Jalil Embong, Yang Arif Hakim Bicara menyatakan bahawa iqrar merupakan salah satu pembuktian yang terkuat dalam hukum syara’.[46] Bahkan tiada perselisihan pendapat ulama’ berkenaan kedudukan iqrar ini. Sebagaimana firman Allah Taala :

“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri.”[47]


Menjadi tanggungjawab pihak pendakwa untuk membuktikan kesukarelaan pengakuan salah tertuduh dalam kes jenayah. Seandainya Mahkamah membuat pertimbangan dan memutuskan bahawa terdapat elemen yang menafikan kesukarelaan tertuduh dalam pengakuan salah tersebut, maka pihak pendakwa perlu berusaha untuk mengangkat pertuduhan tersebut dan dibuktikan sehingga wujud kes prima facie.
Dr. Mahyuddin Ismail ada menjelaskan tentang keperluan pihak pendakwa dalam membuktikan kes sihir sehingga mencapai tahap prima facie. Keperluan yang dimaksudkan adalah seperti kematian mangsa, kematian tersebut adalah implikasi amalan atau serangan sihir, pendapat pakar menyokong bahawa tertuduh menggunakan ilmu sihir yang mampu membawa kematian dan wujud elemen mens rea atau niat jahat.[48]
2) Keterangan Saksi
Keterangan saksi merupakan salah satu bentuk keterangan yang sering digunakan dalam proses pembuktian di Mahkamah. Keterangan saksi ini termasuklah ahli keluarga mahupun masyarakat yang menyaksikan sendiri kegiatan amalan sihir ataupun menyaksikan gangguan sihir yang berlaku ke atas mangsa. Berdasarkan seksyen 59 Akta Katerangan 1950 dan seksyen 46 Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan bahawa keterangan saksi ini harus dikemukakan secara lisan. Keterangan yang dikemukakan oleh seseorang saksi haruslah keterangan yang dilihat, atau didengarinya sendiri dan bukan diperolehi dari pihak ketiga.
Keterangan pihak ketiga ini adalah salah satu bentuk keterangan dengar cakap (hearsay) sedangkan keterangan saksi yang diterima di Mahkamah adalah keterangan langsung. Keterangan langsung merupakan satu bentuk keterangan lisan yang diberikan oleh seorang saksi dalam Mahkamah berhubung suatu fakta atau hak atau kejadian yang diperolehinya melalui pancainderanya.[49] Bahkan, saksi yang melihat kejadian atau proses pemujaan sihir boleh membuat akuan bersumpah berkenaan dengan penyaksiannya berdasarkan seksyen 60 (1) (a) Akta Keterangan 1950 dan seksyen 47 (1) (a) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.
Dalam kes jenayah sihir, pihak yang bertanggungjawab menggeledah, menyita atau merampas barangan mahupun yang menjalankan siasatan boleh juga dikemukakan sebagai saksi. Kebiasaannya, saksi jenis ini mempunyai kuasa yang diberikan undang-undang untuk menangkap, menggeledah, merampas dan mencegah sesuatu jenayah iaitu pihak berkuasa seperti anggota polis atau penguatkuasa agama. Bahkan catatan dalam buku laporan, atau dokumen siasatan serta rakaman siasatan boleh digunakan sebagai salah satu bentuk keterangan yang menyokong keterangan yang diberikan secara lisan oleh mereka sendiri.
Hakikatnya, seseorang individu itu bertanggungjawab untuk mengemukakan keterangan sebagai saksi kepada pertuduhan yang dibicarakan di Mahkamah. Firman Allah :
“Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.”[50]
3) Keterangan Saksi Pakar (Ra’yu al-Khabir)
Bagi mengenalpasti kewujudan sihir dalam setiap pertikaian di Mahkamah, keterangan pakar harus dikemukakan bagi membantu Mahkamah dalam membuat pertimbangan kes dalam bidang yang asing bagi Mahkamah. Bahkan ia selaras dengan firman Allah :
“Oleh itu, kamu perlu bertanya kepada individu yang berpengathuan sekiranya kamu tidak mengetahui.”[51]
Pakar dalam kes sihir ini boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama adalah pakar saintifik seperti pakar forensik. Ini bertujuan untuk membantu Mahkamah menjalankan uji kaji terhadap bahan yang bersifat biological sources seperti darah, rambut, kuku dan tengkorak, dan uji kaji terhadap bahan non-biological sources seperti cat, kayu, jarum, kesan tapak kaki, minyak dan seumpamanya.[52] Keterangan pakar ini dapat menjelaskan perkaitan antara barangan yang digunakan dengan pelaku ataupun mangsa.
Kategori kedua pula adalah pakar dalam bidang ilmu sihir itu sendiri. Ia bukanlah bermaksud pakar dari kalangan ahli sihir, sebaliknya pakar yang mempunyai pengetahuan tentang gangguan sihir serta mempunyai pengalaman dalam menjalankan rawatan pemulihan pesakit gangguan sihir. Menurut pendapat Ibnu Rifaah dari mazhab Syafie, keterangan dari bekas ahli sihir yang sudah bertaubat boleh diterima sebagai keterangan pakar.[53] Bahkan Panel Rayuan dalam kes Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman juga menyarankan supaya dukun yang merawat perayu dipanggil memberikan keterangan berkaitan gangguan sihir yang dialami perayu. Ini menunjukkan keperluan keterangan pakar dalam kes yang melibatkan elemen sihir. Bahkan keterangan pakar ini ada diperjelaskan oleh Prof Dr Anwarullah sebagai salah satu bentuk keterangan yang diterima dalam Islam iaitu :-

”The opinion of the expert has been given great importance by the later Muslim jurists and they relied upon it in all criminal and civil matters. It is stated in Majallah Al-Ahkam al-Adliyyah, a civil codifield Law of Ottoman Empire of Turkey, that reports of the skilled persons are acceptable as authentic testimony even if they did not use the word Shahadah (testimony).” [54]

4) Keterangan Keadaan (Qarinah)
Qarinah bermaksud bukti atau segala wasilah yang dibenarkan untuk dikemukakan di mahkamah dengan tujuan membuktikan kewujudan sesuatu fakta atau sebaliknya. Ia juga bermaksud sebarang maklumat yang diperolehi daripada dokumen, benda atau saksi yang boleh membuktikan kewujudan fakta tertentu. Qarinah boleh disama-ertikan dengan keterangan keadaan (circumstantial evidence).[55]
Melalui bukti atau maklumat ini, kebenaran atau kepalsuan sesuatu fakta yang dipertikaikan dapat dipastikan kedudukannya. Ini bermakna qarinah adalah satu tanda jelas untuk membuktikan sesuatu fakta yang tersembunyi.[56]  Ini sebagaimana yang ditunjukkan dalam firman Allah Taala :-

“Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang Yang benar”.[57]

Qarinah juga boleh digunakan dalam membuktikan kewujudan mens rea atau niat jahat. Contohnya dalam kes Pendakwa Syarie Pahang lwn V.V.Aboo a/l M. Ahammu tentang kesalahan melawat tempat perjudian di Genting Highland.[58] Pendakwa telah menimbulkan isu niat tertuduh bukan semata-mata melawat kasino tetapi mempunyai niat untuk berjudi. Pendakwa mengukuhkan pendakwaannya dengan mengemukakan qarinah seperti tertuduh memakai baju batik iaitu syarat untuk masuk berjudi di kasino tersebut dan tertuduh masuk ke kasino ‘bersama kawan’ dan bukan ‘mencari kawan’. Qarinah ini sudah cukup untuk meyakinkan Mahkmah tentang niat tertuduh yang ingin berjudi di kasino tersebut.

Maka jika dilestarikan dalam pembuktian kes sihir, qarinah seperti penyediaan bahan-bahan kotor seperti darah, najis, tengkorak dan seumpamanya sudah cukup untuk membuktikan elemen niat jahat pelaku jenayah sihir itu sendiri. Apatahlagi jika bahan-bahan pemujaan sihir itu dirampas dan disita semasa dalam milikan seseorang, keadaan ini dapat membuktikan bahawa individu tersebut merupakan pengamal sihir.
Beberapa siri kejadian yang akhirnya membawa kepada serangan dan gangguan sihir juga boleh dijadikan sebagai qarinah melalui aplikasi prinsip res gestae. Sebagai contoh, mangsa menyebabkan pelaku jenayah sihir rasa cemburu dan iri hati. Ini membawa kepada pelaku tersebut mengugut atau membuat isyarat yang difahami untuk mengenakan sihir ke atas mangsa seperti menanam sesuatu di bawah rumah mangsa atau mencalit sesuatu di tiang rumah mangsa. Selang beberapa hari, mangsa mengalami gangguan aneh dan hidupnya tidak tenteram. Kemudian mangsa mula menujukkan perubahan dari sudut fizikal atau mental akibat gangguan tersebut. Berasaskan perinsip res gestae, perasaan iri hati dan ugutan melalui isyarat yang difahami untuk melakukan serangan sihir ke atas mangsa boleh dijadikan qarinah kepada gangguan atau jenayah sihir.[59]
4.5 Kesimpulan
Elemen pembuktian dan keterangan dalam undang-undang berkaitan sihir adalah penting bagi menjaga keadilan bagi pihak-pihak yang bertikai. Bahkan ia juga bertujuan untuk mengawal tabiat menuduh seseorang tanpa bukti yang kukuh terutamanya dalam bab sihir. Mengemukakan keterangan yang sesuai adalah satu kemestian supaya setiap pertikaian yang dibawa ke perhatian Mahkamah menepati piawai beban dan darjah pembuktian.
Sejarah telah membuktikan bahawa pelbagai undang-undang berkaitan sihir telah dimansuhkan akibat salah faham tentang penggunaan keterangan yang bersesuaian. Apatahlagi kekurangan pakar yang dapat menjelaskan secara terperinci kedudukan pembuktian bagi kesalahan sihir yang seharusnya dibuktikan sama seperti jenayah biasa, dan bukan satu jenayah yang misteri. Secara perbandingan mudah, jenayah sihir sama keadaannya dengan jenayah siber. Tidak siapa tahu pelaku jenayahnya sehingga pakar dalam bidang masing-masing menjalankan siasatan. Bahkan perlakuan jenayahnya tidak memerlukan pelakunya berada di lokasi kejadian. Bagi jenayah siber melalui kaedah Internet Protocol Adress bagi mengesan lokasi pelaku jenayah siber. Begitu juga jenayah sihir yang mempunyai kaedahnya yang tersendiri.

RUJUKAN & NOTA KAKI

[1] Mahyuddin Ismail, 2011,  Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 266
[2] Ruzman Md. Noor. 2007. Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. hlm. 176.

[3] Ibid. hlm. 176.
[4] Siti Zalikhah Haji Md Nor, 2006, Beberapa Aspek dalam Undang-Undang Keterangan Islam, dlm al-Syariah : Undang-Undang Keterangan Islam, Jilid 3, Siti Zalikhah Haji Md Nor et. al. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 4.
[5] Al-Kasaniy, 1998, al-Bada’i al-Sana’I, Jil. 5, Cetakan Ketiga, Beirut : Dar Ihya’ al-Turath, hlm. 337.
[6] Aishah Abd. Rauf  lwn. Wan Mohd Yusof (1991) JH VII/II 152
[7] Ruzman Md. Noor (2007). Pembuktian Dalam Kes Harta Sepencarian di Mahkamah Syariah di Malaysia. Jurnal Syariah (15:1) h. 39
[8] Abdul Basir Mohammed, Amalan sihir & ayat-ayat al-Qur’an : Perbezaan serta kesannya terhadap amalan perubatan, 1999, Kuala Lumpur : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm. 186
[9] Abdul Hanif lwn Rabiah (1996) 11 JH 47
[10] Jurnal Syariah 8:2 (2000), hlm. 155-160
[11] Amran Kasimin, 2009, Sihir Suatu Amalan Kebatinan, Bangi : Penerbit UKM, hlm. 113
[12] Wahid Abdussalam al-Baaly & Daud Mohd Sallleh, 1994, Bagaimana menentang ilmu hitam, Johor Bahru : Penerbitan al-Masyhur Sdn. Bhd. hlm. 58-59
[13] Mahyuddin Ismail, 2011,  Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 58
[14] Ibrahim Muhammad Jamal, 1982, Haqiqat al-Sihr : Dirasah fi zilali qisasi Qur’ani qa sirah nabawiyyah, Kaherah : Maktabah Qur’an, hlm. 55-57
[15] Mahyuddin Ismail, 2011, Op. cit., hlm. 61-62
[16] Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman (1410 H) JH 41
[17] Emmet V. Mittlebeeler, 1976, African Custom and Western Law : The Development of Rhodesian Criminal Law for Africans, New York : African Publishing Company, hlm. 135
[18] J.C. Smith & Brian Hogan, 1996, Criminal Law, Ed. 8, London : Butterworth & Co. Ltd. hlm. 30
[19] Zaleha Kamaruddin, 1998, Strict Liability in Criminal Law : A Comparative Approach, Ed. Pertama, Kuala Lumpur : Nurin Enterprise,  hlm. 29
[20] J.C. Smith & Brian Hogan, 1996, Op. cit., hlm. 23
[21] Amran Kasimin, 2009, Sihir Suatu Amalan Kebatinan, Bangi : Penerbit UKM, hlm. 123-125
[22] King Emperor v Nehal Mahto (1939) 1 LR Vol. XVIII, hlm. 485
[23] Glanville Williams, 1961, Criminal Law, 2nd ed., London : Stevens & Sons, hlm. 31
[24] Tham Kai Yau & Ors v PP (1977) 1 MLJ 174, hlm. 176
[25] Mahyuddin Ismail, 2011,  Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 115
[26] Ibid. hlm. 100
[27] Khairul Ghazali, 2001, Rupa & Wajah Iblis Laknatullah, Kuala Lumpur : Darul Nu’man, hlm. 21-22
[28] Al-Qur’an, Surah Saba’ 34 : 13
[29] Amran Kasimin, 1997, Amalan Sihir Masyarakat Melayu: Satu Analisis, Kuala Lumpur : Percetakan Watan Sdn. Bhd., hlm. 132-133
[30] Mahyuddin Ismail, 2011,  Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 102
[31] Ibid. hlm. 104
[32] Md. Masud Rana Md. Mofiz v Razaul Karim Md. Soleman (2008) 1 LNS 162
[33] J.C. Smith & Brian Hogan, 1996, Criminal Law, Ed. 8, London : Butterworth & Co. Ltd. hlm. 32
[34] John D. Gimlette, 1971, Malay Poisons & Charm Cures, Kuala Lumpur : Oxford University Press, hlm. 2
[35] William Shaw, 1975, Aspect of Malaysian Magic, Kuala Lumpur : Muzium Negara, hlm. 67
[36] Mahyuddin Ismail, 2011,  Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 107
[37] Mahmud Saedon, 1996, An Introduction to Islamic Law of Evidence, Hizbi, hlm. 7
[38] Ruzman Md. Noor. 2007. Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. hlm. 175
[39] Jal Zabdi Mohd Yusoff, 2008, Pengenalan Kepada Undang-Undang Keterangan di Malaysia, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, hlm. 58
[40] Dato’ Mokhtar Bin Hashim & Anor v Public Prosecutor (1983) 2 MLJ 232
[41] Seksyen 45 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayh Persekutuan 1997; Seksyen 50 Akta Keterangan 1950.
[42] Al-Shaukani, Muhammad bin Ali bin Muhammad, 1961, Nayl Al-Awtar, Mustafa Al-Rabi Al-Halabi, Mesir, hlmn 112.
[43] Juraimi Husin v Public Prosecutor (1998) 1 MLJ 537
[44] Teoy Say Eng, 2004, Malaysian Criminal Litigation Manual, Kelana Jaya : Malayan Law Journal, hlm. 83
[45] Ruzman Md. Noor. 2007. Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. hlm. 194
[46] Pendakwa Syarie lwn. Jalil Embong dan Zaliha Endut (2004) JH XVII/I 93-121
[47] Al-Qur’an, Surah al-Qiyamah 75 :14
[48] Mahyuddin Ismail, 2011,  Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 251
[49] S. Augustine Paul. 1994. Evidence : Practice & Procedure. Selangor : Pelanduk Publications. hlm. 396.
[50] Al-Qur’an, Surah An-Nisa’ 4:135
[51] Al-Qur’an, Surah An-Nahl 14:43
[52] Martin Hannibal & Lisa Mountford, 2002, The Law of Criminal and Civil Evidence : Principles and Practice, Essex : Pearson Education Ltd, hlm. 356-357
[53] Mahyuddin Ismail, 2011,  Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 256
[54] Prof. Dr. Anwarullah. Evidence By Expert (Experts‘ Opinion). dlm. Principles of Evidence in Islam. A. S. Noordeen Press.
[55] Ruzman Md. Noor. 2007. Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. hlm. 184
[56] Wahbah Zuhaily, 1989. Al-Fiqh Islami wa Adillatuhu. Jilid 6. Damsyik : Dar al-Fikr, hlm. 644
[57] Al-Qur’an, Surah Yusuf 12: 27
[58] Pendakwa Syarie Pahang lwn V.V.Aboo a/l M. Ahammu (1991) JH VII/II 203
[59] Mahyuddin Ismail, 2011,  Ahli Sihir Ke Tali Gantung. Kuala Lumpur : PTS Publication. hlm. 259-260

1 comment:

  1. Salam bro,

    I didn't read through the whole article but basically, my situation is, I have a friend (a girl), whom I have niat to marry is being accused by my parents of using sihir on me. they also claimed that the mother is using sihir on me too. basically they went to see these 4 different ustaz and a hajjah and all of them said that my friend and the mother are using sihir on me to get me. and the mother is retaliating since my parents are "fighting" back.

    my parents have not met the girl and the mother yet and they believed whatever these ustaz said about my friend. my father even refused to meet my friend.

    I hope you can advice me on what I should do.

    Thank you!

    ReplyDelete