Monday, December 10, 2012

Elemen Pembuktian Di Mahkamah (Bentuk Keterangan)


(Petikan Bab 2 Latihan Ilmiah "Sihir : Pembuktian Di Mahkamah)
 
Bab 2.1 : Pengenalan

Pembuktian merupakan elemen asas dalam mentadbir keadilan kes yang dibicarakan dan dibawa ke perhatian Mahkamah. Di Malaysia khususnya, tidak kira sama ada Mahkamah Sivil mahupun Mahkamah Syariah, elemen pembuktian yang digunapakai adalah berdasarkan adaptasi undang-undang yang termaktub dalam Indian Evidence Act 1872 yang dirangka oleh Sir James Stephen berasaskan prinsip Common Law Inggeris.


Di Mahkamah Sivil, statut khusus berkenaan keterangan dan pembuktian yang digunapakai adalah Akta Keterangan 1950 (Akta 56). Akta tersebut digunakan sebagai panduan aplikasi pembuktian keterangan di Mahkamah. Manakala bagi Mahkamah Syariah, terdapat statut yang tersendiri dan berbeza mengikut negeri. Ini adalah kerana undang-undang syariah merupakan hak eksklusif Negeri-Negeri sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Pembuktian di Mahkamah Syariah menggabungkan antara pembuktian yang telah dibahaskan dalam hukum fiqh dan syariah Islam, dengan elemen pembuktian yang sudah sedia termaktub dalam Akta Keterangan 1950 (akta 56).

Pembuktian mempunyai maksud dan fungsi yang berbeza dengan keterangan. Makna pembuktian itu sendiri hampir sama dengan definisi proof dan ithbat. Proof atau bukti bermaksud “segala sesuatu yang berfungsi untuk meyakinkan pemikiran seseorang tentang kebenaran atau kepalsuan sesuatu perkara yang belum pasti.”[1] Menurut Kamus Dewan, pembuktian diertikan sebagai proses atau perbuatan untuk membuktikan sesuatu.[2] Ithbat pula membawa maksud mengemukakan dalil di hadapan hakim dalam Mahkamah berkaitan dengan sesuatu hak atau kejadian.[3]

Bagi keterangan pula, pada prinsipnya ia digunakan untuk membuktikan sesuatu fakta itu wujud atau tidak. Sungguhpun kedua-dua istilah tersebut berbeza, namun kedua-duanya mempunyai perkaitan yang amat rapat.[4]

Bab ini akan membincangkan elemen-elemen pembuktian yang digunapakai dan yang menjadi amalan di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di Malaysia. Penulis juga menjadikan beberapa statut pilihan berkaitan dengan keterangan dan pembuktian sebagai rujukan asas dalam memastikan setiap elemen pembuktian yang dibincangkan adalah terpakai dari segi undang-undang di Malaysia.

Bab 2.2 : Elemen Pembuktian di Mahkamah Sivil

Secara umumnya, keterangan yang ditafsirkan dalam seksyen 3, Akta Keterangan 1950 (Akta 56) adalah seperti berikut :-

“keterangan” meliputi –
a)      Segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi-saksi berhubungan dengan perkara-perkara fakta yang disiasat: pernyataan sedimikian disebut keterangan lisan;

b)      Segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah : dokumen-dokumen sedimikian disebut keterangan dokumen;

Sungguhpun Akta Keterangan 1950 (akta 56) mentafsirkan keterangan sebagai keterangan lisan dan keterangan dokumen, namun perlu difahami bahawa tafsiran ini juga membawa kepada maksud klasifikasi keterangan seperti berikut :

                                i.            Keterangan Lisan (Oral Evidence)
                              ii.            Keterangan Dokumen (Documentary Evidence)
                            iii.            Keterangan Langsung (Direct Evidence)
                            iv.            Keterangan Keadaan (Circumstantial Evidence)
                              v.            Keterangan Primer (Primary Evidence)
                            vi.            Keterangan Sekunder (Secondary Evidence)
                          vii.            Keterangan Dengar Cakap (Hearsay Evidence)
                        viii.            Keterangan Benda (Real Evidence)
                            ix.            Keterangan Pendapat (Opinion Evidence)
                              x.            Keterangan Prima Facie (Prima Facie Evidence)
                            xi.            Keterangan Sama Fakta (Similar Fact Evidence)
                          xii.            Keterangan Watak (Character Evidence)
                        xiii.            Keterangan Konklusif (Conclusive Evidence)

2.2.1 Keterangan Lisan (Oral Evidence)

Keterangan Lisan bermaksud segala penyataan yang dikhendaki oleh Mahkamah untuk dibuat di hadapannya oleh saksi tentang sesuatu hak atau kejadian. Keterangan lisan merangkumi segala fakta yang dikemukakan kecuali isi kandungan dokumen-dokumen.[5] Ini sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 59, Akta Keterangan 1950 iaitu :-

            59. Membuktikan fakta-fakta dengan keterangan lisan.
            Segala fakta, kecuali kandungan dokumen-dokumen, boleh dibuktikan dengan keterangan lisan.”

Peruntukan tersebut menjelaskan bahawa jika keterangan berkenaan kandungan dokumen diperlukan, maka keterangan lisan tidak diterima kerana kandungan dokumen tersebut perlu dibuktikan dengan mengemukakan dokumen itu sendiri.[6] Seksyen 60, Akta yang sama juga memperuntukkan bahawa setiap keterangan lisan mestilah dikemukakan secara langsung.

2.2.2 Keterangan Dokumen (Documentary Evidence)

Seksyen 3, Akta Keterangan 1950 (Akta 56) mentafsirkan keterangan dokumen merangkumi keterangan yang berbentuk tulisan, perkataan yang dicetak atau dilitograf atau difotograf, inskripsi pada kayu atau batu atau logam, lukisan, citra, gambar, karikatur, fotograf, negatif, pita komunikasi telefon termasuk yang dipancarkan dari satu jarak, rakaman fotografi dan hal yang dirakam atau disimpan atau diproses atau didapatkan semula atau dikeluarkan oleh komputer.

Secara prinsipnya, keterangan dokumen memerlukan dokumen asal dikemukakan sebagai rujukan kepada pihak Mahkamah. Rujukan kepada dokumen asal ini digelar sebagai keterangan primer. Namun seksyen 61, Akta Keterangan 1950 (akta 56) juga membenarkan keterangan sekunder dikemukakan dalam keadaan-keadaan tertentu sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 65, Akta yang sama.[7] Sebagai contoh dalam kes Forbes v Samuel[8]  iaitu berkaitan dengan perjanjian rakan kongsi (partnership deed) yang mana kedua-dua pihak bertikai memegang salinan perjanjian tersebut, maka setiap salinan dokumen tersebut dianggap dokumen asal.

2.2.3 Keterangan Langsung (Direct Evidence)

Keterangan langsung merupakan satu bentuk keterangan lisan yang diberikan oleh seorang saksi dalam Mahkamah berhubung suatu fakta atau hak atau kejadian yang diperolehinya melalui pancainderanya.[9] Contohnya, keterangan berkenaan suatu fakta yang boleh dilihat, maka keterangan lisan yang perlu diberikan saksi tersebut adalah berkaitan dengan apa yang dilihat olehnya. Begitu juga jika ia berkaitan dengan fakta yang boleh didengar, maka saksi tersebut perlu memberikan keterangan lisan tentang apa yang didengarinya.  Ini diperjelaskan oleh Hamid Ibrahim melalui penulisannya iaitu :-

“This principal of oral evidence is based on the rule that a witness can only verify the truth of facts which he himself has seen or heard or perceived or of which he has personal knowledge.”[10]

Manakala jika keterangan berkaitan dengan suatu pendapat, maka keterangan langsung adalah keterangan yang dikemukakan oleh seseorang yang berpegang kepada pendapat tersebut.[11] Ini selaras dengan peruntukan seksyen 60, Akta Keterangan 1950 (Akta 56).

2.2.4 Keterangan Keadaan (Circumstantial Evidence)

Keterangan keadaan adalah satu bentuk keterangan yang dikemukakan untuk membuktikan kewujudan fakta isu atau fakta persoalan melalui pembuktian fakta berkaitan atau fakta yang relevan dengan fakta isu atau persoalan. Apabila fakta berkaitan ini dibuktikan, maka ia membawa kepada kebarangkalian fakta yang dipertikaian itu wujud atau sebaliknya.

2.2.5 Keterangan Primer (Primary Evidence)

Seksyen 64, Akta Keterangan 1950 (Akta 56) secara jelas memperuntukkan bahawa dokumen yang dikemukakan di Mahkamah perlu dibuktikan dengan keterangan primer. Dalam erti kata lain, keterangan primer adalah berasaskan kepada ‘best evidence rule’ kerana keterangan tersebut disokong oleh dokumen asal.[12] Ini menunjukkan bahawa keterangan primer bermaksud satu bentuk keterangan utama dalam membuktikan kesahihan dokumen apabila dokumen tersebut menjadi pertikaian di Mahkamah.

Dalam kes Mohamed Syedol Ariffin v Yeoh Ooi Gark[13] sebagai contoh, Privy Council telah menerima keterangan berkaitan tarikh lahir defendan setelah defendan berjaya mengemukakan keterangan dokumen iaitu sebuah buku asal yang menyimpan rekod dan butiran diri ahli keluarganya kepunyaan bapa defendan.

2.2.6 Keterangan Sekunder (Secondary Evidence)

Sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 65, Akta Keterangan 1950 (Akta 56), keterangan sekunder boleh digunakan apabila tidak wujud keterangan primer dalam beberapa keadaan tertentu. Contohnya dalam kes Mst Bibi Aisha v Bihar Subai Sunni Majlis Avaqaf.[14] Dalam kes tersebut, Mahkamah memutuskan bahawa salinan kepada dokumen asal waqf adalah diterima jika syarat-syarat dalam seksyen 65 tersebut dipenuhi. Keterangan sekunder boleh jadi satu bentuk salinan asal dokumen ataupun satu bentuk keterangan lisan berkaitan kandungan dalam dokumen tersebut.

Seksyen 63, Akta yang sama telah menyenaraikan bentuk-bentuk keterangan sekunder seperti salinan yang diperakui, salinan daripada naskhah asal melalui mesin, salinan yang dibuat daripada atau dibandingkan dengan naskhah asal, kaunterpart dokumen terhadap pihak-pihak yang tidak menyempurnakannya dan keterangan lisan mengenai kandungan sesuatu dokumen yang telah diberikan oleh seseorang yang melihatnya atau mendengar tentangnya atau melalui anggapannya sendiri.

2.2.7 Keterangan Dengar Cakap (Hearsay Evidence)

Keterangan dengar cakap adalah bertentangan dengan keterangan langsung mahupun yang dikemukakan secara langsung. Secara asasnya, keterangan ini tidak diterima sebagai salah satu bentuk keterangan di Mahkamah. Namun terdapat beberapa pengecualian yang diberikan dalam Akta Keterangan 1950 seperti seksyen 32, seksyen 33 dan seksyen 73A berkenaan dengan keterangan yang dikemukan pada prosiding terdahulu oleh seorang saksi yang tidak boleh dijumpai atau dipanggil untuk mengemukakan keterangan di Mahkamah akibat keuzuran, sakit atau mati.[15] Ini sebagaimana diperjelaskan oleh Hamid Ibrahim seperti berikut :

“Under this section, hearsay evidence as a general rule, is excluded from legal evidence. However, there are a few important exceptions and these have been dealt with under sections 13, 18 to 24, and sections 32-38.”[16]

2.2.8 Keterangan Benda (Real Evidence)

Keterangan benda adalah satu bentuk keterangan yang dibawa ke perhatian dan pengetahuan Mahkamah tentang suatu benda atau material untuk diperiksa oleh Mahkamah. Contohnya seperti barangan yang ditender sebagai eksibit seperti senjata mahupun dokumen. Seksyen 60(3), Akta Keterangan 1950 (Akta 56) menyatakan :-

“Jika keterangan lisan itu mengenai kewujudan atau mengenai keadaan sesuatu benda termasuk dokumen, maka mahkamah bolehlah, jika difikirkan patut, mengkehendaki benda itu atau dokumen itu dikemukakan untuk pemeriksaannya.”

2.2.9 Keterangan Pendapat (Opinion Evidence)

Prinsip keterangan di Mahkamah adalah saksi mengemukakan keterangan berkaitan dengan fakta sahaja. Jika saksi tersebut mengemukakan pendapatnya, maka ia tidak diterima sebagai satu bentuk keterangan di Mahkamah. Ini kerana pendapat hanya boleh diberikan oleh Hakim setelah mendengar keterangan daripada pihak-pihak yang bertikai.

Maka, secara prinsipnya, pendapat yang diberikan oleh saksi sebagai orang ketiga dalam prosiding adalah tidak relevan. Namun seksyen 45, Akta Keterangan 1950 membenarkan pendapat saksi diterima sebagai keterangan di Mahkamah dengan syarat saksi tersebut merupakan seorang pakar dan pendapatnya adalah berkaitan dengan fakta yang dikemukakan. Bahkan menurut prinsip Taylor yang menyatakan :

“whenever it is clear that inexperienced persons are unlikely to form a consent judgement in the subject matter of inquiry, the opinion of someone who has special skills is admissible.”[17]

2.2.10 Keterangan Prima Facie (Prima Facie Evidence)

Prima Facie boleh diertikan sebagai sekilas pandang atau sekali imbas atau sepintas lalu. Keterangan prima facie pula membawa maksud keterangan yang meyakinkan Mahkamah bahawa keterangan yang dikemukakan adalah mencukupi untuk memastikan wujudnya elemen utama dalam pertuduhun kes jenayah. Beban untuk mengemukakan keterangan prima facie ini adalah terletak kepada pihak pengadu atau pihak Pendakwa.

2.2.11 Keterangan Sama Fakta (Similar Fact Evidence)

Keterangan ini bermaksud satu bentuk keterangan yang membuktikan kewujudan suatu fakta isu melalui pembuktian fakta relevan yang tidak berkaitan antara satu sama lain. Sebagai contoh, kesalahan merosakkan harta benda awam yang dilakukan oleh seseorang yang pernah mempunyai rekod kesalahan yang serupa. Rekod kesalahan itu boleh dijadikan satu bentuk keterangan sama fakta bahawa orang tersebut telah melakukan kesalahan yang sama pada waktu yang berlainan. Namun, keterangan jenis ini tidak relevan secara prinsipnya kerana ia boleh menimbulkan prejudis dan bias kepada orang yang kena tuduh. Seksyen 11, 14, 15 dan 16 Akta Keterangan 1950 (Akta 56) ada menjelaskan berakitan dengan keterangan ini.[18]

2.2.12 Keterangan Watak (Character Evidence)

Seksyen 52 hingga 55, Akta Keterangan 1950 (Akta 56) ada menjelaskan tentang keterangan watak. Keterangan watak adalah berkait rapat dengan aspek reputasi, deposisi dan insiden tertentu seperti sabitan kes jenayah terdahulu. Keterangan Watak ini lebih bersifat umum berbanding keterangan sama fakta. Keterangan ini merangkumi minat, kecenderungan, kualiti dalaman, pembawaan, nama baik, integriti, maruah serta pandangan masyarakat umum. Keterangan ini adalah tidak relevan jika dikaitkan dalam kes sivil sebagaimana dalam keputusan kes Abdul Sahkoor v Kotwaleswar Prasad,[19] namun keterangan ini menjadi relevan jika dikaitkan dengan kes jenayah sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 53, Akta Keterangan 1950 (Akta 56).[20]

2.2.13 Keterangan Konklusif (Conclusive Evidence)

Keterangan konklusif adalah satu bentuk keterangan yang muktamad dan tidak boleh dipertikai. Suatu keterangan yang dikemukakan akan menjadi konklusif dan muktamad jika ia telah diperuntukkan oleh statut iaitu Akta Keterangan 1950. Sebagai contoh, seksyen 112, Akta yang sama yang memperuntukkan bahawa kelahiran anak dalam masa perkahwinan merupakan bukti muktamad tentang kesahtarafan anak.

Ini boleh dilihat dalam penghakiman Aitken J dalam kes Ainan Mahamud v Syed Abu Bakar.[21] Begitu juga peruntukan seksyen 113, Akta yang sama berkenaan anggapan bahawa budak lelaki yang berumur dibawah 13 tahun tidak berupaya melakukan jenayah rogol. Hanya terdapat tiga peruntukan berkaitan keterangan ini iaitu seksyen 41, 112 dan 113 Akta Keterangan 1950 (Akta 56).[22]

Bab 2.3 : Elemen Pembuktian di Mahkamah Syariah

Mahkamah Syariah di Malaysia mempunyai hierarki dan bidangkuasa yang tersendiri selepas ia dipisahkan dari hierarki Mahkamah Sivil pada tahun 1988 dan selepas penggubalan Perkara 121 (1)A, Perlembagaan Persekutuan. Namun, pembuktian di Mahkamah Syariah tidak banyak bezanya dengan amalan di Mahkamah Sivil. Cuma yang berbeza adalah dari sudut penggunaan istilah dan aplikasi undang-undang keterangan Islam.

Keterangan sebagaimana yang ditafsirkan dalam seksyen 3, Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 adalah :-

            “keterangan” termasuklah –
a)      bayyinah dan syahadah;
b)      segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubungan dengan perkara-perkara fakta yang disiasat : pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan;
c)      segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah : dokumen sedimikian disebut keterangan dokumentar;

Sebagaimana yang telah dinyatakan, pembuktian di Mahkamah Syariah tidak banyak bezanya dengan amalan di Mahkamah Sivil. Namun, Mahkamah Syariah telah mengguna pakai beberapa elemen keterangan dan pembuktian yang menjadi amalan dalam perundangan Islam. Hanya pengakuan (iqrar), keterangan saksi (syahadah) dan sumpah (al-yamin) merupakan bentuk keterangan yang disepakati para Fuqaha’.[23] Bentuk-bentuk keterangan dalam Islam adalah seperti berikut :-          

                                i.            Al-Iqrar (Pengakuan)
                              ii.            Al-Syahadah (Saksi)
                            iii.            Al-Yamin (Sumpah)
                            iv.            Al-Qarinah (Fakta Berkaitan atau Keterangan Keadaan)
                              v.            Al-Ra’yu al-Khabir (Pendapat Pakar)
                            vi.            Al-Qiyafah
                          vii.            Al-Kitabah
                        viii.            Ilm al-Qadi
                            ix.            Al-Qasamah
                              x.            Li’an

2.3.1 Al-Iqrar (Pengakuan)

Dari sudut bahasa ia bermaksud mengaku atau membuat pengakuan.[24] Dari sudut istilah fuqaha’ pula, iqrar bermaksud memberitahu seorang akan sabit hak orang lain ke atas dirinya walaupun buat masa akan datang tetapi bukanlah semata-mata pemberitahuan bahkan pada hakikatnya iqrar itu dari satu sudut ia adalah ikhbar (pemberitahuan) dan dari suatu sudut lain memberi ertinya insya’ (mencipta sesuatu).[25]

Jika diteliti dalam penghakiman kes Pendakwa Syarie lwn Jalil Embong, Yang Arif Hakim Bicara menyatakan bahawa iqrar merupakan salah satu pembuktian yang terkuat dalam hukum syara’.[26] Bahkan tiada perselisihan pendapat ulama’ berkenaan kedudukan iqrar ini. Sebagaimana firman Allah Taala :
“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri.”[27]

2.3.2 Al-Syahadah (Saksi)

Syahadah boleh didefinisikan sebagai suatu pemberitahuan yang benar bagi mensabitkan sesuatu hak dengan lafaz asyhadu dalam Mahkamah.[28] Cara pembuktian ini juga disepakati oleh para ulama’ sebagai satu cara pembuktian dalam undang-undang keterangan Islam. Bahkan tiada pendapat ulama’ yang menolak atau menafikan kedudukan syahadah dalam Islam.[29] Ini selaras dengan firman Allah Taala:
“Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.” [30]

2.3.4 Al-Yamin (Sumpah)

Secara umumnya, al-Yamin disyariatkan bertujuan bagi menguatkan sama ada dari aspek kebenaran dalam mensabitkan hak serta penafian ataupun tatkala gagal dalam mengemukakan bukti dan keterangan. Sumpah ini juga kadangkala disebut al-yamin al-asliyyah atau al-wajibah atau al-rafi’ah, yamin jalibah, yamin tuhmah dan yamin istizhar.[31] Jika satu pihak enggan bersumpah selepas diarahkan oleh Mahkamah untuk berbuat demikian, maka pihak tersebut dianggap telah melakukan nukul yamin dan mahkamah akan mengarahkan satu pihak lagi untuk mengangkat sumpah.

Seksyen 87 (1), (2) dan (3) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 ada memperjelaskan tentang proses sumpah di Mahkamah :-

“(1) Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.

(2) Jika Defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak.

(3) Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah”

2.3.5 Al-Qarinah (Fakta Berkaitan atau Keterangan Keadaan)

Qarinah boleh disamakan dengan konsep keterangan keadaan (circumstantial evidence).Secara istilah, qarinah bermaksud bukti atau segala wasilah yang dibenarkan untuk dikemukakan di mahkamah dengan tujuan membuktikan kewujudan sesuatu fakta atau sebaliknya. Ia juga bermaksud sebarang maklumat yang diperolehi daripada dokumen, benda atau saksi yang boleh membuktikan kewujudan fakta tertentu.

Melalui bukti atau maklumat ini, kebenaran atau kepalsuan sesuatu fakta yang dipertikaikan dapat dipastikan kedudukannya. Ini bermakna qarinah adalah satu tanda jelas untuk membuktikan sesuatu fakta yang tersembunyi.[32]  Ini sebagaimana yang ditunjukkan dalam firman Allah Taala :-

“Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang Yang benar”.[33]

2.3.6 Al-Ra’yu al-Khabir (Pendapat Pakar)

Seksyen 33, Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 membenarkan pendapat saksi diterima sebagai keterangan di Mahkamah dengan syarat saksi tersebut merupakan seorang pakar dan pendapatnya adalah berkaitan dengan fakta yang dikemukakan. Bahkan keterangan pakar ini ada diperjelaskan oleh Prof Dr Anwarullah sebagai salah satu bentuk keterangan yang diterima dalam Islam iaitu :-

”The opinion of the expert has been given great importance by the later Muslim jurists and they relied upon it in all criminal and civil matters. It is stated in Majallah Al-Ahkam al-Adliyyah, a civil codifield Law of Ottoman Empire of Turkey, that reports of the skilled persons are acceptable as authentic testimony even if they did not use the word Shahadah (testimony).” [34]

2.3.7 Al-Qiyafah

Dalam bidang sains, qiyafah sering kali dirujuk dengan perkataan anthroposcopy atau physiognomy iaitu satu bentuk kemahiran mengenalpasti susur galur keturunan seseorang apabila berlakunya percampuran keturunan tersebut.[35] Orang yang pakar dalam qiyafah digelar sebagai qa’if.[36] Namun ia berbeza dengan keterangan pakar kerana keterangan pakar dimasukkan sebagai qarinah. Bahkan Ibn Qayyim meletakkan keterangan pakar terasing daripada qarinah kerana keterangan pakar boleh mencapai tahap yakin.[37]

Amalan qiyafah ini selari dengan hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah yang bermaksud :

“Pada suatu hari Rasulullan s.a.w dating kepadaku dalam keadaan amat sukacita sehingga jelas terpancar kecantikan wajahnya. Katanya : Tahukah kamu bahawa Mujazzir al-Mudaljiy[38] telah datang berjumpaku. Dia telah melihat USamah (si anak) dan Zaid (si bapa) yang menutup muka dan kepala mereka dengan sehelai kain dan memperlihatkan kaki kedua-duanya sahaja. Lalu Mujazzir meneka bahawa kaki kedua-dua mereka adalah daripada keturunan yang sama.”[39]

2.3.8 Al-Kitabah (Keterangan Dokumen)

Beradasarkan seksyen 3, Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 mentafsirkan keterangan dokumen sebagai salah satu bentuk keterangan yang diterimapakai di Mahkamah Syariah. Kedudukan keterangan dokumen menurut hukum syara’ diperjelaskan oleh Noor Inayah Yaakub dan Jasri Jamal dalam artikel mereka berjudul Keterangan Dokumen Dan Teknologi iaitu :-

Secara khusus dari sudut pandangan perundangan Islam, catatan dokumen memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Al-Quran dalam beberapa ayat telah menyebutkan peranan catatan sebagai cara pembuktian dan merupakan keterangan yang boleh membantu mencari kebenaran. Pandangan Ibn Qayyim yang menerima keterangan dokumen sebagai qarinah boleh dijadikan panduan. Jika qarinah tersebut kuat maka hendaklah diterima manakal jika lemah hendaklah ditolak, dan jika keterangan itu samar-samar amak hendaklah ia dipastikan terlebih dahulu.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah pernah menyebut dalam kitab al-Turuq al-Hukmiyyah (1977:299-300) yang bermaksud :-

Pembuktian sebenarnya satu hujah yang menyokong dakwaan dan semakin banyak bukti yang dibawa semakin kuat pendakwaan tetapi menggunakan satu bukti sahaja yang benar-benar kuat adalah lebih baik daripada 100 hujah yang boleh dipertikaikan” [40]

2.3.9 Ilm al-Qadi

Ia merupakan satu bentuk pengetahuan atau maklumat yang diperolehi secara peribadi oleh hakim berkaitan dengan kes yang dihadirinya.[41] Secara prinsipnya, seorang hakim akan menetapkan keputusan berdasarkan maklumat dan fakta yang diperolehi ketika perbicaraan. Jika maklumat itu diperolehi di luar Mahkamah, maka terdapat beberapa perbezaan pendapat dalam penerimaan keterangan ini.

Mengikut Imam Syafie, pengetahuan dan maklumat Hakim yang diperoleh di luar Mahkamah boleh dijadikan asas hukuman jika ia diperolehi oleh dua orang saksi lelaki, manakala Mazhab Hanafi pula menolak keterangan ini dalam kes hudud. Namun berdasarkan pendapat Mazhab Zahiri, keterangan ini perlu digunakan dalam semua kes termasuk hudud, bahkan Ibnu Hazm menambah bahawa pengetahuan Hakim merupakan keterangan yang perlu didahulukan berbanding pengakuan (iqrar) dan keterangan saksi.[42]

2.3.10 Al-Qasamah

Secara umumnya, qasamah adalah salah satu bentuk sumpah. Namun ia berbeza daripada sumpah al-Yamin. Jumhur yang terdiri daripada Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali berpendapat qasamah merupakan sumpah yang dibuat oleh wali al-dam untuk mendakwa penduduk yang menjumpai mangsa pembunuhan ditempat mereka.[43] Qasamah juga didefinisikan sebagai sumpah yang dibuat oleh penduduk sesuatu tempat terhadap satu pembunuhan yang tidak diketahui siapa pembunuhnya. Definisi ini disokong oleh pendapat Mazhab Hanafi dengan menambah lafaz sumpahnya :

            “Demi Allah aku tak membunuhnya dan aku tak tahu siapa pembunuhnya.”[44]

2.3.11 Li’an

Li’an adalah prosedur sumpah yang dikenakan terhadap suami apabila suami tersebut menuduh isteri berzina tanpa dapat mengemukakan empat orang saksi lelaki Muslim yang adil.[45]

2.4 Kesimpulan

Pembuktian di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak banyak bezanya. Ini kerana kerangka statut yang menjadi rujukan asas kedua-dua Mahkamah adalah hasil adaptasi dari sumber yang sama. Namun statut rujukan bagi Mahkamah Syariah dilestarikan dengan undang-undang keterangan Islam, maka terdapat beberapa istilah dan terma yang ditukarkan sesuai dengan konsep yang digunakan.  Elemen-elemen keterangan dan pembuktian ini masih berkesan dalam memastikan kewujudan sesuatu hak atau sebaliknya. Maka dengan wujudnya statut dan undang-undang khusus berkaitan keterangan, pihak-pihak yang tidak berpuashati boleh mengemukakan sebarang bukti berkaitan untuk mengangkat haknya.

RUJUKAN

[1] Hamid Ibrahim. 1993. Law of Evidence. Kuala Lumpur : CLBC. hlm. 163.
[2] Kamus Dewan. 1991. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 169
[3] Kuwait, Wizarah al-Awqaf. 1983. Al-Mawsu’at al-Fiqhiyyah. 23 Jilid. Taba’ah Zat al-Salasil. hlm. 232.
[4] Ruzman Md. Noor. 2007. Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. hlm. 175.
[5] S. Augustine Paul. 1994. Evidence : Practice & Procedure. Selangor : Pelanduk Publications. hlm. 389
[6] Hamid Ibrahim. 1993. Law of Evidence. Kuala Lumpur : CLBC. hlm. 278.
[7] Ibid, hlm. 285.
[8] Forbes v Samuel (1913) 3 KB 706
[9] S. Augustine Paul. 1994. Evidence : Practice & Procedure. Selangor : Pelanduk Publications. hlm. 396.
[10] Hamid Ibrahim. 1993. Law of Evidence. Kuala Lumpur : CLBC. hlm. 279.
[11] S. Augustine Paul. 1994. Evidence : Practice & Procedure. Selangor : Pelanduk Publications. hlm. 397.
[12] S. Augustine Paul. 1994. Evidence : Practice & Procedure. Selangor : Pelanduk Publications. hlm. 417.
[13] Mohamed Syedol Ariffin v Yeoh Ooi Gark (1916) 2 AC 575; 1 MC 165 PC
[14] Mst Bibi Aisha v Bihar Subai Sunni Majlis Avaqaf, AIR (1969) SC 253
[15] S. Augustine Paul. 1994. Evidence : Practice & Procedure. Selangor : Pelanduk Publications. hlm. 227.
[16] Hamid Ibrahim. 1993. Law of Evidence. Kuala Lumpur : CLBC. hlm. 279.
[17] Ibid. hlm. 236
[18] Ibid. hlm. 61-74.
[19] Abdul Shakoor v Kotwaleswar Prasad AIR (1938) All 54
[20] Hamid Ibrahim. 1993. Law of Evidence. Kuala Lumpur : CLBC. hlm. 258.
[21] Ainan bin Mahamud v Syed Abu Bakar bin Habib Yusoff and Ors (1939) MLJ Rep 163.
[22] Hamid Ibrahim. 1993. Law of Evidence. Kuala Lumpur : CLBC. hlm. 408.
[23] Ruzman Md. Noor.  2007. Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. hlm. 175.
[24] Mahmud Saedon A. Othman. 2003. Undang-undang Keterangan Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. hlmn.41
[25] Ibid.
[26] Pendakwa Syarie lwn. Jalil Embong dan Zaliha Endut (2004) JH XVII/I 93-121
[27] Al-Qur’an, Surah al-Qiyamah 75 :14
[28] Al-Khatib Muhammad al-Sharbiniy, 1995. Mughni al-Muhtaj. Jilid 4. Beirut : Dar al-Fikr, hlm. 540.
[29] Al-Kahlaniy, Muhammad bin Ismail, 1995. Subul al-Salam. Jilid 4. Beirut : Dar al-Fikr, hlm. 126.
[30] Al-Qur’an, Surah al-Nisa’ 4: 135
[31] Ruzman Md. Noor. 2007. Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. hlm. 194-197.
[32] Wahbah Zuhaily, 1989. Al-Fiqh Islami wa Adillatuhu. Jilid 6. Damsyik : Dar al-Fikr, hlm. 644
[33] Al-Qur’an, Surah Yusuf 12: 27
[34] Prof. Dr. Anwarullah. Evidence By Expert (Experts‘ Opinion). dlm. Principles of Evidence in Islam. A. S. Noordeen Press.
[35] Muhammad Rafa’at Othman, 1992. Al-Qada fi Al-Fiqh Al-Islamiy, hlm. 243.
[36] Shofian Ahmad, 2006. Sabitan Nasab Melalui Qiyafah. dlm. Al-Syariah. Siti Zalikhah Md. Nor et. al. Jilid 3. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
[37] Muhammad Rafa’at Othman, 1992. Al-Qada fi Al-Fiqh Al-Islamiy, hlm. 255.
[38] Mujazzir al-Mudlajiy merupakan seorang pakar qiyafah dair suku bani Mudlaj pada zaman Rasulullah.
[39] Al-Son’ani. Subul al-Salam Sharh Bulugh al-Maram. Jilid 4. Kaherah : Dar al-Hadith, hlm. 1492. (Hadis 1331).
[40] Noor Inayah Yaakub dan Jasri Jamal. Keterangan Dokumen dan Teknologi. dlm. Zaini Nasohah et al. Syariah dan Undang-Undang : Suatu Perbandingan. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
[41] Ruzman Md. Noor. 2007. Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. hlm. 175.
[42] Paizah Hj. Ismail, 2008. Kaedah Pembuktian Dalam Kes Hudud. Jurnal Fiqh No. 5 (2008) : [23]- 46
[43] ‘Abd Rahman al-Jaza’iry. Kitab al-Fiqh ‘Ala Mazahib al-‘Arba’ah. Jilid 5. Mesir : Dar al-Irsyad, hlm. 271-276
[44] ‘Ala al-Din Abu Bakr Ibn Mas’ud al-Kasaniy, 1997. Bada’I al-Sana’I Fi Tartib al-Shara’i. Jilid 10. Tahqiq ‘Ali Mu’awwad & ‘Adil Ahmad Abd al-Mawjud. Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm. 375.
[45] Ruzman Md. Noor.  2007. Pembuktian di Mahkamah Syariah, dlm Undang-Undang Islam di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Ahmad Hidayat Buang et. al. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. hlm. 175.

No comments:

Post a Comment